EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Penularan masih dalam situasi genting Dr. Noor Hisham

0 month ago, 08-Jun-2021

DR NOOR HISHAM ABDULLAH./ Gambar FB MKN

WALAUPUN jumlah kes baharu semakin menunjukkan penurunan dengan ketika ini jangkitan berlegar melebihi angka 5,000, namun Tan Sri Dr. Noor Hisham memberi amaran bahawa situasi masih dalam keadaan genting.

Dr. Noor Hisham turut meningatkan bahawa bahaya penularan COVID-19 dan kapasiti hospital adalah di tahap kritikal dan boleh terus meningkat sekiranya orang ramai alpa walau untuk sehari sekali pun.

Ketua Pengarah Kesihatan itu dalam kenyataan memaklumkan, statistik menunjukkan penurunan jumlah kes positif COVID-19 pada minggu epidemiologi (ME) ke-22 iaitu dari 30 Mei hingga 5 Jun adalah sebanyak 1,379 kes susut sebanyak 2.6 peratus.

Kata beliau, situasi berkenaan adalah susulan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula pada 12 Mei lalu.

Namun begitu, Dr. Noor Hisham berkata, jumlah kes aktif didapati terus meningkat dalam tempoh sama berikutan lonjakan kes pada ME ke-20 dan ME ke-21.

Jumlah kes aktif adalah sebanyak 57,022 kes dan pada awal ME ke-22, ia meningkat kepada 78,017 kes peningkatan sebanyak 20,955 kes.

Baca artikel berkaitan: 76 lagi kematian, jumlah terima rawatan ICU masih ramai

Meskipun terdapat penurunan 2.6 peratus kes mingguan, namun jumlah kes aktif masih terus meningkat dengan jumlah kes aktif COVID-19 yang masih dalam rawatan dan pemerhatian adalah sebanyak 82,797 kes, katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai kapasiti dan keupayaan fasiliti kesihatan pula, Dr. Noor Hisham memberitahu kadar penggunaan katil COVID-19 di unit rawatan rapi (ICU) telah meningkat daripada 96 peratus pada 24 Mei kepada 104 peratus, Ahad lalu.

Katanya, kadar penggunaan katil bagi pesakit COVID-19 bukan ICU di hospital bagaimanapun sedikit menurun dalam tempoh dua minggu kepada 89 peratus.

Begitu juga dengan kadar penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) adalah sebanyak 54 peratus.

Kadar penggunaan katil ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan di mana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU, jelas beliau.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham turut memberitahu, hospital-hospital seluruh negara sedang berhadapan dengan peningkatan kes bergejala serius atau kategori 4 dan 5.

Beliau berkata, pesakit kategori itu memerlukan bantuan oksiden dan bantuan alat pernafasan khususnya dalam kalangan golongan rentan seperti warga emas dan pesakit yang menghidap lain-lain penyakit.

Pesakit-pesakit ini memerlukan tempoh pemulihan yang lama untuk sembuh disebabkan komplikasi yang serius daripada jangkitan COVID-19.

Statistik diterima oleh CPRC menunjukkan purata tempoh rawatan bagi kategori 4 adalah diantara 14 hingga 16 hari manakala bagi pesakit kategori 5 pula adalah selama 19 ke 26 hari.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengingatkan semua pihak bahawa situasi penularan COVID-19 yang dihadapi negara masih kekal pada situasi sangat serius, katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami diFacebook,Twitter,Instagram&Telegram



SUMBER : utusantv.com



Live Website Traffic


loading...