EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Penoreh getah tidak mengaku salah lakukan ugutan jenayah terhadap ibu kandung

0 month ago, 19-Nov-2020


KUALA KANGSAR: Seorang penoreh getah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas tuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap ibu kandungnya, minggu lalu.

 

Tertuduh Fadzir Mohd Zamhari, 48, yang masih bujang, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan hakim Rohaida Ishak.

 

Berdasarkan kertas pertuduhan, Fadzir didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengacukan sebilah parang ke perut ibunya yang berumur 52 tahun dan mengugut hendak membunuh wanita itu, dengan niat hendak menakutkan mangsa di sebuah rumah di Kampung Sungai Akar di sini kira-kira pukul 6 pagi, 17 Nov lalu.

 

Pendakwaan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

 

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Siti Hanida Abdul Kadir, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Norizawani Ahmad Jalaludin.

 

Terdahulu, Siti Hanida menawarkan jaminan RM5,000, sebelum Norizawani memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM3,000, namun mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh tinggal bersama ibunya dan menetapkan 4 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

 

Sementara itu, di mahkamah sama seorang peniaga sate mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu menakutkan penjawat awam dan memandu secara berbahaya, pada 12 Nov lepas.

 

Mengikut kertas pertuduhan, Rohaizad Lazim, 37, didakwa melanggar kenderaan polis dari arah belakang, dengan niat hendak menakutkan penjawat awam yang sedang menjalankan kewajipan sah di sisi undang-undang, di Jalan Taman Chandan Puteri di sini kira-kira pukul 7 malam pada 12 Nov lalu.

 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau  kedua-duanya.

 

Selain itu, Rohaizad juga didakwa, memandu sebuah Proton Wira dari KM1 Jalan Kuala Kangsar-Manong sehingga ke Kampung Sungai Siput Hulu di sini dengan cara berbahaya kepada orang awam, pada tarikh dan masa yang sama.

 

Bagi kesalahan itu, peniaga tersebut yang diwakili peguam P. Ravee, didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM15,000.

 

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM3,000 bagi kesalahan pertama dan RM5,000 untuk kesalahan kedua dengan seorang penjamin setiap satu dan terdiri daripada individu berbeza serta menetapkan 12 Jan depan untuk sebutan semula kes.

 

BERNAMA



SUMBER : penangkini.com



Live Website Traffic


loading...