EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Pening kepala bau asap kimia

0 month ago, 26-Nov-2019

KUALA SELANGOR: Saya sekeluarga terjaga daripada tidur selepas mendengar bunyi letupan berulang-kali seperti mercun.

Apabila keluar dari rumah, saya ternampak kepulan asap putih dari tempat pembuangan sampah haram yang terletak kira-kira 800 meter dari rumah, kata suri rumah, Norzaimah Bohari, 33.

Norzaimah antara 50 penduduk yang tinggal berhampiran tapak pembuangan sampah haram yang terbakar di Jalan Kapar Batu 16, Kampung Tambak Jawa di sini, semalam.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 3.29 pagi, dia berasa loya dan pening kepala akibat terbau seperti bahan kimia daripada kebakaran berkenaan.

Saya sendiri tidak tahan duduk dalam rumah kerana bau asap itu busuk dan meloyakan seperti bahan peluntur pakaian.

Mungkin ia simptom yang saya alami disebabkan terhidu asap yang dibawa angin kuat pagi tadi (semalam), katanya ketika ditemui, semalam.

Norzaimah mendakwa mengetahui ada pembuangan sisa kimia di kawasan berkenaan, minggu lalu.

Katanya, adik iparnya, Nurul Husna Ramli, 34, mengalami sesak nafas dan terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Tanjong Karang (HTK), kira-kira jam 8 pagi.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Norhana Shari, 41, mengakui ternampak kepulan api dari arah belukar kira-kira 400 meter dari kediamannya.

Sewaktu tidur, saya dikejutkan dengan bunyi letupan dari arah belakang rumah sebelum melihat api menjulang tinggi.

Saya tidak berani keluar dari rumah dan menunggu pihak bomba memadamkan kebakaran. Namun, saki baki kebakaran itu menyebabkan aktiviti penduduk berhampiran terjejas, katanya.

Harian Metro melaporkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat mengambil masa hampir tiga jam memadam kebakaran membabitkan 244 tong bahan kimia di tapak pembuangan sampah haram.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian yang turut menyebabkan berlaku letupan bahan kimia itu.


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic


loading...