EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Peniaga yang ingkar arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) akan dikenakan tindakan

0 month ago, 21-Mar-2020

Bermula esok, pemilik premis yang tidak mematuhi arahan perintah kawalan pergerakan di negeri ini akan dikenakan tindakan tegas.

Tindakan itu berkuatkuasa terhadap premis di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang, berkata keputusan itu diambil berikutan aduan orang ramai selain sikap peniaga yang enggan memberi kerjasama dalam mematuhi arahan bagi mencegah penularan COVID-19.


Katanya, antara tindakan yang dikenakan ialah dengan menutup premis, menyita barangan perniagaan atau menarik balik lesen perniagaan.


Kita sudah memberi notis dan menasihatkan peniaga khususnya di kawasan yang boleh mengundang kumpulan orang ramai namun sekiranya mereka masih ingkar, premis mereka akan ditutup dan barangan juga akan disita.

Sekiranya tetap tidak patuh, lesen perniagaan mereka akan ditarik balik dan laporan polis akan dibuat, katanya dalam sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Negeri Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud.

Mengulas lanjut, penjaja di sekitar empat pasar awam di sini, turut diperintahkan penutupan bermula esok.

Lokasi itu ialah di sekitar Pasar Awam Air Itam, Jelutong, Jalan Perak dan Bayan Baru yang masih lagi sesak dikunjungi orang ramai yang mahu membeli keperluan.

Sehingga hari ketiga, sebanyak 1,834 premis di sini sudah diperiksa penguatkuasa MBPP.

Di sini, pemantauan turut dibuat menerusi kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan lokasi yang masih menjadi tumpuan orang ramai, katanya lagi.

Dalam perkembangan lain Rozali berkata, pengumpulan sampah di bahagian Seberang Perai berkurangan sebanyak 17 peratus berbanding pada hari pertama perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.

Katanya pada 18 Mac lalu, sebanyak 687.3 tan sampah dikumpul di daerah itu berbanding 568.15 tan yang direkodkan pada hari ketiga (20 Mac).

Ia menunjukkan kejayaan kempen Penang Lawan COVID-19iaitu dengan mengurangkan pergerakan kakitangan MBSP ketika bekerja.

Sehingga hari ketiga, MBSP juga sudah memeriksa sebanyak 270 premis dan mengeluarkan notis arahan patuh perintah kawalan pergerakan, katanya.

Sementara itu, Jagdeep berkata pihaknya sudah mendapat kelulusan dari kerajaan negeri bagi mendapatkan sebanyak 150,000 botol cecair pembasmi kuman bagi diedarkan secara percuma kepada penduduk di 212 blok skim perumahan awam bertingkat.

SUMBER : penangkini.com

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...