EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Peniaga ayam bantah lantikan pengedar tunggal

0 month ago, 12-Jan-2021
save 2.0

MyMetroMutakhir

Bernama

Georgetown: Persatuan Peniaga Ayam Pulau Pinang hari ini, membantah pelantikan sebuah syarikat pengedar ayam tunggal dan menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mempertimbangkan tindakan menghapuskan tempat penyembelihan ayam di semua pasar basah di bahagian pulau yang disifatkan sebagai menindas peniaga ayam segar keseluruhannya.

Pengerusi persatuan itu, Azizur Rahman mendakwa tindakan kerajaan negeri melantik satu syarikat pengedar ayam yang berasal dari Singapura itu pada Disember tahun lalu menimbulkan pelbagai isu termasuk status penyembelihan ayam mengikut syarak selain kesegaran dan kebersihan ayam yang diragui.

"Pelantikan syarikat tersebut juga diragui kerana tiada hitam putih daripada pihak kerajaan negeri berhubung pelantikan tersebut.

"Malah, kami sebagai peniaga ayam segar juga dikehendaki membeli peti pendingin dari syarikat berkenaan yang berharga RM12,000 sebuah sebelum 1 Mac ini. Ini adalah satu bentuk penindasan," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Katanya, jika syarikat berkenaan memonopoli aktiviti pengedaran ayam keseluruhannya, lebih 200 peniaga ayam dan pekerja di pasar basah sedia ada akan terjejas.

"Jangan sampai isu ini terjadi seperti isu daging sejuk beku import baru-baru ini. Sebagai peniaga Muslim adalah menjadi tanggungjawab kami untuk sediakan ayam yang halal untuk pengguna Islam.

"Jadi, kami sebulat suara menolak tindakan MBPP dan menggesa kerajaan negeri untuk mewujudkan pusat penyembelihan halal (kendalian orang Islam) di setiap (pasar) daerah di negeri ini," katanya.

Terdahulu, isu tersebut timbul susulan cadangan MBPP untuk menghapuskan penyembelihan ayam di semua pasar basah di bahagian pulau apabila pembinaan pusat pengedaran ayam di Batu Lanchang siap sepenuhnya pada tahun ini.


Apabila siap kelak, pusat itu akan mengedar ayam yang siap disembelih kepada 126 penjual ayam di 26 pasar di seluruh Pulau Pinang.

Pada 1 Februari tahun lalu Datuk Bandar MBPP Datuk Yew Tung Seang dilaporkan berkata pembinaan pusat pengedaran itu adalah untuk mengekalkan kebersihan di semua pasar basah.



SUMBER : penangkini.com



Live Website Traffic


loading...