www.edisiviral.com

Berita dan informasi edisi viral di Malaysia.


Penapis air sistem solar

0 month ago, 06-Dec-2018


KUALA LUMPUR: Ketiadaan dan kekurangan air bersih akibat banjir di Kelantan pada 2015 menjadi ilham kepada pensyarah Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Mohd Azlan Hussain membangunkan Sistem Penapisan Air Ultra Mudah Alih Berkuasa Solar.

Paling membanggakan, alat ciptaannya bersama Profesor Dr Mohamed Kheireddine Ben Taieb Aroua, Dr Mohd Usman Mohd Junaidi dan Rustam Ramlan memenangi Kategori Air di Anugerah Global Institut Kejuruteraan Kimia 2018 di Manchester, United Kingdom, baru-baru ini.

Menurut Mohd Azlan, alat berkenaan kini dipasang di lima kawasan pedalaman dengan dua di Sarawak dan masing-masing satu di Pahang, Kelantan dan Perak.

Ia berfungsi secara automatik sebagai penapis air kotor termasuk sumber lain seperti air sungai, telaga, tasik serta air hujan yang mampu menampung sejumlah 700 liter air bersih pada setiap jam.

Malah penggunaannya juga akan menjimatkan kos perbelanjaan air kerana sistem ini secara automatik mampu mengekstrak dan menapis air daripada sumber semula jadi dengan menghasilkan air bersih pada kos kurang 20 sen per meter padu, katanya.

Mohd Azlan berkata, kelebihan pemasangan sistem penapisan air itu adalah menggunakan tenaga solar sebagai punca tenaga utama selain set generator membuatkan sistem ini sesuai digunakan di kawasan pedalaman.

INFOGRAFIK.

Alat ini sangat canggih dan ia hanya sebesar kabinet dapur dan mampu melakukan pembersihan secara automatik apabila tersumbat. Semua kotoran yang terdapat pada air dapat ditapis dengan baik.

Selain itu, ia juga membantu dalam sistem hijau dengan impak sosioekonomi yang tinggi selari matlamat keselamatan air bersih.

Namun kita perlu mengingati bahawa sumber air adalah terbatas dan menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan penggunaan air dengan bijak serta mengelakkan pembaziran sumber yang berharga ini, katanya.

Menurutnya, alat itu dibangunkan berdasarkan kajian seorang pelajar doktor falsafah pada 2014 yang mengkaji mengenai penapisan air kotor daripada kilang.

Air yang ditapis itu boleh memberi manfaat kepada pengusaha kilang. Melihat kepada permintaan di kawasan luar bandar termasuk kejadian banjir membuatkan saya dan pasukan mahu membangunkan alat yang sesuai.

Bermula penggunaannya ketika banjir di Kuala Krai selama dua bulan pada 2015, kami memberi banyak penambahbaikan kepada alat ini.

Saya harap penggunaan alat ini akan menggalakkan kesan positif yang berterusan kepada masyarakat luar bandar dengan meningkatkan kualiti dan sumber air bersih, katanya sambil memberitahu Fakulti Kejuruteraan UM mendapat kerjasama daripada syarikat Kejuruteraan Mekanik Berqat untuk penyelidikan alat itu.


SUMBER : hmetro.com.my


Tags

Travel New York London IKEA NORWAY DIY Ideas Baby Family News Clothing Shopping Sports Games

Popular Posts


Related Posts