EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Pemuda UMNO Pekan Belanja 400 Penunggang Motosikal Petrol Percuma

37 month ago, 21-Oct-2017

PEKAN, 21 Okt -Lebih 400 penunggang motosikal di bawah 150cc tidak melepaskan peluang mendapatkan petrol percuma sumbangan Pemuda UMNO Bahagian Pekan di stesen minyak Petronas Peramu di sini.

Ketua Pemudanya Datuk Shahruddin Ahmad berkata program yang julung kali diadakan di Parlimen Pekan itu bertujuan untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Program ini adalah salah satu simbol keprihatinan Pemuda UMNO terhadap masyarakat setempat malah kita memberi tanpa mengira apa fahaman politik mereka, asalnya mereka mempunyai motosikal yang memenuhi kriteria ditetapkan.

Melalui program ini juga Pemuda UMNO dapat mendekati masyarakat terutamanya golongan berpendapatan rendah,” katanya sempena Program Pemberian Minyak Petrol Percuma Anjuran Pemuda UMNO Bahagian Pekan di sini, hari ini.

Shahruddin menambah sambutan menggalakkan diterima memberi idea kepada mereka untuk mengadakan program seumpama ini lebih kerap di kawasan berlainan pula.

“Saya jangka sekiranya ada peluang dan peruntukan yang sesuai, program seumpama ini akan dilakukan lagi dengan jumlah lebih ramai,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja kilang kereta Jusri Ibrahim, 40, berkata pemberian petrol percuma ini sememangnya membantu dirinya, yang berulang alik ke tempat kerja dengan menaiki motosikal.

“Saya ingin berterima kasih kepada Pemuda UMNO kerana menganjurkan program sebegini untuk membantu masyarakat yang memerlukan, dan minyak yang diberikan ini sekurang–kurangnya dapat menjimatkan belanja selama beberapa hari.

“Peningkatan kos sara hidup dan bahan api memang dirasai sejak kebelakangan ini, jadi saya harapkan bantuan ini akan diteruskan secara lebih kerap pada masa akan datang,” katanya.

Pelajar, Mohd Naufal Idris, 16, berkata beliau mendapat tahu mengenai program itu daripada kumpulan WhatsApp dan tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan minyak percuma itu walaupun terpaksa beratur panjang menunggu giliran.

“Sebelum ini pernah baca ada program minyak percuma di tempat lain, jadi bila diadakan di sini, saya rasa seronok juga untuk menjadi sebahagian daripada orang ramai yang berkumpul mendapatkan minyak percuma,” katanya.



SUMBER : umno-online.my



Live Website Traffic


loading...