www.edisiviral.com

Berita dan informasi edisi viral di Malaysia.


Peminjam bayar konsisten dizalimi kaedah potongan gaji berjadual PTPTN

0 month ago, 07-Dec-2018


Dalam isu PTPTN yang menjadi perbualan hangat masyarakat ketika ini berikutan pengumuman badan itu untuk melaksanakan Potongan Gaji Berjadual atau PGB antara antara 2% hingga 15% kepada peminjam, dua perkara utama tidak seharusnya diabaikan oleh kerajaan sebelum membuat keputusan muktamad berkenaan dengannya.
Pertama, wujud janji yang sahih daripada Pakatan Harapan sendiri untuk mengutip bayaran daripada peminjam hanya setelah mereka mempunyai pendapatan melebihi RM4,000 sebulan.

Kedua, pinjaman PTPTN adalah sejenis hutang dan dalam apa keadaan sekali pun, ia wajib dibayar.

Dasar baru yang diumumkan oleh PTPTN untuk mengutip bayaran balik berdasarkan pendapatan dengan kadar antara 2% hingga 15% telah menimbulkan keresahan dan kecaman daripada pelbagai kelompok masyarakat, khususnya golongan peminjam sendiri.

Selain UMNO yang menjadikan ia sebagai modal serangan kepada kerajaan, Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri kira-kira setahun setengah daripada sekarang turut meluahkan kebimbangannya dan berjanji akan membangkitkan perkara itu kepada Tun Mahathir Mohamad.

Difahamkan mesyuarat kabinet hari ini akan membincangkan berkenaan PGB yang diumumkan oleh PTPTN itu serta akan membuat keputusan terbaik mengenainya.

Sesuatu yang kabinet perlu ingat dan jangan buat-buat lupa ialah janji bayaran balik setelah berpendapatan RM4,000 sebulan adalah termaktub dalam manifesto PRU13 bersama ketetapan untuk memansuhkan dasar menyenarai-hitamkan nama peminjam yang gagal membuat pembayaran.

Haruslah diingat juga bahawa janji tersebut merupakan antara penyumbang hadirnya sokongan pengundi muda kepada Pakatan Harapan dan seterusnya memberi kemenangan kepada gabungan itu menumbangkan UMNO dan BN.

Tanpa janji tersebut, meskipun ada skandal 1MDB dan Najib Razak digelar sebagai penyamun sekali pun, undi golongan muda mungkin masih berbelah-bagi dan tidak cukup mantap untuk menjelmakan kemenangan.

Sebaik menang pilihanraya, meskipun dasar senarai hitam itu telah dimansuhkan, PTPTN akhirnya tidak melaksanakan janji berhubung pendapatan RM4,000 sebulan baru diwajibkan membuat bayaran balik dengan alasan kekangan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan.

Kita mungkin dapat memahami kekangan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan ketika ini, tetapi dasar baru PTPTN menetapkan bayaran balik melalui PGB sebanyak 2% hingga 15% adalah jelas menzalimi peminjam yang merupakan golongan muda yang baru mahu memulakan kehidupan.

Berdasarkan dasar baru itu, mereka yang berpendapatan RM2,000 akan dipotong gajinya sebanyak 2% atau RM40 sebulan manakala yang berpendapatan RM8,000 akan ditolak 15% atau RM1,200.

Bagi yang berpendapatan RM4,000 pula, potongan yang ditetapkan ialah sebanyak 8% atau RM320.

Kadar potongan mungkin nampak kecil jika mereka berpendapatan RM2,000, tetapi dengan sendirinya menjadi besar dan membebankan jika bergaji antara RM4,000 hingga RM8,000 sebulan.

Daripada dijanjikan dikecualikan bayaran sehingga berpendapatan melebihi RM4,000 sebulan, alih-alih peminjam PTPTN kini wajib membuat bayaran balik sebanyak RM320 setiap bulan.

Tidakkah ini gila dan zalim sebenarnya?

Apa yang tinggal jika hidup di Kuala Lumpur dengan pendapatan RM4,000 sebulan tetapi dipotong RM320 atau bergaji RM8,000 dan ditolak sebanyak RM1,200?

Selain itu, dasar baru ini juga dengan sendirinya bermakna mereka yang sudah ada perjanjian untuk membuat bayaran balik mengikut kemampuan atau sekitar RM100 dan RM150 sebulan, kini terikat dengan dasar baru yang diumumkan oleh PTPTN itu.

Dalam kita mengatakan hutang wajib dibayar oleh peminjam PTPTN sambil menyertakan petikan Al-Quran dan hadis berkaitan dengannya sebagai peringatan, haruslah juga diingat bahawa janji lebih wajib untuk ditunaikan.

Sebagaimana hutang akan dituntut di akhirat, janji juga akan dituntut di akhirat nanti, lebih-lebih lagi janji daripada pemimpin adalah yang lebih dulu dihisab di hadapan Tuhan.

Dalam kes PTPTN ini, sudahlah janji gagal ditepati, sebaliknya peminjam pula nampak dizalimi.

Berkaitan hal ini, kita kini sedar bahawa Mazlee Malik selaku Menteri Pendidikan dan Wan Saiful Wan Jan semakin tidak layak duduk di jawatan yang mereka sandang sekarang, tetapi ketidakmampuan mereka itu tidak seharusnya menjadikan kerajaan Pakatan Harapan sebagai mangsa, dicemuh serta dianggap gagal.

Dasar PGB yang diumumkan oleh PTPTN ini adalah tanda kegagalan Pakatan Harapan dan pasti akan menyebabkan pengundi muda tidak lagi bersama Pakatan Harapan dalam PRU15 akan datang.

Jika tanpa sokongan orang muda yang disebabkan oleh karenah Mazlee dan Wan Saiful ini, maka akan kembalilah Pakatan Harapan sebagai pembangkang semula.
Oleh itu, adalah penting bagi kerajaan untuk membuat keputusan yang bijak dan adil berkaitan PTPTN ini, bukan saja berdasarkan hutang wajib dibayar, tetapi juga berasaskan janji manifesto Pakatan Harapan sendiri, kecualilah jika Pakatan Harapan, Tun Mahathir, Anwar dan lain-lain pemimpin Pakatan Harapan tidak kisah untuk kembali menjadi pembangkang selepas PRU15 nanti?

(Shahbudin Husin 07/12/2018)

SUMBER : cikgushare.com


Tags

Travel New York London IKEA NORWAY DIY Ideas Baby Family News Clothing Shopping Sports Games

Popular Posts


Related Posts