EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

PELAKON DRAMA DI YOUTUBE DIDAKWA BUAT LAPORAN PALSU DIROGOL

0 month ago, 14-Jan-2021
save 2.0

KOTA BHARU: Seorang pelakon drama di Youtube didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas dua pertuduhan iaitu pemerasan sehingga mendatangkan ketakutan kepada seorang lelaki dan membuat laporan palsu mengenai kejadian rogol, pada Disember tahun lalu.

Tertuduh, Nor Hafizah Shamsuddin, 31 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan pemerasan kepada seorang lelaki berusia 29 tahun sehingga mendatangkan ketakutan sesuatu bencana iaitu akan melaporkan kepada polis bahawa lelaki itu telah merogolnya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran nasi kukus di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, kira-kira pukul 3 petang pada 19 Disember tahun lalu.

Nor Hafizah didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah memberikan maklumat palsu kepada anggota polis bahawa dia telah dirogol oleh lelaki sama dan seorang lagi lelaki berusia 21 tahun dengan niat agar mereka dikenakan tindakan.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di kaunter Balai Polis Kubang Kerian kira-kira pukul 12.08 malam pada 20 Disember lalu.

Untuk kesalahan itu, Nor Hafiza didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Riduan Ismail.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM2,500 untuk pertuduhan pertama dan RM1,000 bagi pertuduhan kedua masing-masing dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 21 Februari depan sebagai sebutan semula kes.

Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah. AlHijrah Online



SUMBER : alhijrahnews.com



Live Website Traffic


loading...