EdisiViral.Com Search Guest Post Login

#PAU2019 UMNO Perlu Jadi Gerakan Massa, Tolak PH Yang Terbukti Gagal Jadi Kerajaan Tok Mat

0 month ago, 04-Dec-2019


UMNO perlu menjadi pelopor usaha besar-besaran rakyat negara ini sebagai satu gerakan massa untuk menolak Pakatan Harapan (PH) yang terbukti gagal menjadi kerajaan, gesa Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, ia adalah satu gerakan rakyat yang benar-benar rasa tertipu, terpedaya dan dibohongi oleh PH serta setelah lapan belas bulan menjadi kerajaan, mereka telah menggagalkan negara ini dan rakyatnya secara sistematik.

Gagal melaksanakan pembaharuan yang mereka janjikan. Mereka adalah Pakatan yang gagal! Pakatan yang bukan sahaja menjadikan negara ini negara rapuh, malah Pakatan yang telah melemahkan kedudukan, pengaruh dan kekuasaan Bangsa Melayu dan kedudukan Islam.

Keutamaan mereka bukan menguruskan negara ini. Tetapi siapa yang bakal nak menjadi Perdana Menteri. Sehingga timbul, pelbagai perbalahan dalaman dan percakaran kuasa, yang sangat memalukan.


Yang pasti, kita sama sekali tidak boleh memperjudikan Malaysia dan masa depannya, tegasnya ketika berucap merasmikan secara serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO 2019 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam tadi.

Hadir sama Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Dr Noraini Ahmad, Ketua Pemuda Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri Datuk Zahida Zarik Khan serta barisan ahli jawatankuasa pusat masing-masing.

Turut hadir barisan kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) serta PAS.

Ulas Mohamad yang mesra digelar Tok Mat lagi, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai baru-baru ini merupakan satu bukti yang jelas rakyat benar-benar telah muak, benci dan meluat kepada PH hingga ke tahap yang sudah tidak boleh dibendung lagi.

Tanjung Piai adalah referendum yang memutuskan bahawa PH adalah sebuah kerajaan yang lemah, gagal berimaginasi dan gagal mengurus negara ini.

Ia adalah referendum bahawa kebajikan dan kedudukan Malaysia dan rakyatnya tidak pun menjadi lebih baik sebaliknya semakin deras menyusut.

Ia adalah referendum, bahawa kepimpinan utama negara gagal mengemudi perjalanan negara ini seperti yang dijanjikan. Dan mereka telah mungkir dalam semua ikrar mereka untuk Malaysia, tambahnya.

Berucap di hadapan hampir tiga ribu perwakilan sayap pergerakan, Tok Mat berkata adalah sesuatu yang amat memalukan apabila PH sering meminta masa untuk memperbaiki negara.

Seakan-akan Malaysia merupakan suatu eksperimen dalam tabung uji kaji yang boleh dibuang jika ia gagal dan tidak menjadi.

Malaysia bukan sebuah eksperimen sains. Tidak ada masa untuk dibazirkan. Setiap detik yang terbuang, setiap anak Malaysia yang akan menanggung ruginya.

Percayalah, kegagalan lapan belas bulan PH hanyalah permulaan kepada lebih banyak kegagalan yang bakal menyusul, bidasnya lagi.

Sehubungan itu, Tok Mat mengesyorkan mekanisme yang perlu dilaksanakan bagi menggagalkan kerajaan PH.

Setiap kita mesti menjadi agen semak dan kritik yang benar-benar efektif. Saya maksudkan kita semua, bukan UMNO. Ini adalah era demokrasi digital.

Setiap ahli UMNO boleh berperanan secara bertanggungjawab dan beretika untuk mencari pelbagai kelemahan, kegagalan dan kepincangan PH. Dan mendedahkannya kepada semua rakyat Malaysia melalui pelbagai medium media sosial, ujarnya.

Antara lain juga kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu lagi, agenda Muafakat Nasional hendaklah diperkukuhkan dengan sebenar-benarnya.

Maknanya, kita semua mesti menjiwai Muafakat Nasional, memperjuangkan ideanya dan menjayakannya dengan pelbagai cara.

Kitalah roadmap sebenar Muafakat Nasional. Kitalah yang mesti menterjemahkannya di akar umbi.

Muafakat Nasional ini mesti dirakyatkan. Ia mesti difahami oleh rakyat kebanyakan dan diterima oleh mereka. Dan tugas tersebut adalah pada kita semua bukan sekadar Presiden dan pasukannya sahaja, jelasnya.

Katanya lagi, kemenangan empat PRK sebelum ini melalui kerjasama erat UMNO, Barisan Nasional (BN) dan rakan-rakan sahabat yang lain khususnya PAS juga bukti yang jelas Muafakat Nasional adalah formula dan strategi politik yang berhasil dan mempunyai keampuhan. UMNO ONLINE

SUMBER : penangkini.com



Live Website Traffic


loading...