EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Pampasan nyawa anak

0 month ago, 12-Oct-2019

TOKYO: Mahkamah tertinggi Jepun mengarahkan pampasan berjumlah jutaan dolar kepada keluarga kanak-kanak yang dihanyutkan ombak ketika tsunami pada 2011.

Keseluruhannya, 74 kanak-kanak di Sekolah Rendah Okawa di Ishinomaki mati lemas selepas diarahkan menunggu di pekarangan sekolah bersama guru mereka dan bukannya mendapat perlindungan di tanah tinggi. Sepuluh guru terbabit turut maut dalam bencana itu.

Dua puluh sembilan plaintif yang juga ibu bapa 23 daripada kanak-kanak yang mati dalam kejadian itu berhujah anak mereka mungkin terselamat jika dipindahkan ke tempat selamat dengan segera.

Mahkamah daerah pada 2016 mengarahkan dua kerajaan tempatan membayar bersama sejumlah 1.43 bilion yen (RM55 juta) kepada plaintif.

Penghakiman itu dikekalkan Mahkamah Tinggi Sendai pada 2018 dan kelmarin, Mahkamah Agung mengekalkan keputusan berkenaan seterusnya menolak rayuan kerajaan tempatan terbabit, kata jurucakap mahkamah.

Menurut Japan Times, mahkamah mendapati kematian 23 murid itu sepatutnya dapat dielakkan sekiranya bandar Ishinomaki dan Miyagi mengemas kini pelan kecemasannya.

Ini kali pertama mahkamah membuat penghakiman yang mengarahkan pampasan akibat kekurangan langkah bencana sebelum gempa besar itu.

Peguam plaint, Kazuhiro Yoshioka dipetik AFP berkata: Ini memang keputusan bersejarah.

Ia bererti Mahkamah Agung bersetuju bahawa sekolah di seluruh negara wajib memastikan keselamatan kanak-kanak.

Mahkamah tinggi memutuskan guru sepatutnya boleh menjangka tsunami akan berlaku dan melanda sekolah itu akibat gempa bumi.

Gempa bumi besar yang berlaku bawah laut pada 11 Mac 2011 mengakibatkan tsunami yang melanda pesisiran timur laut Jepun. Kira-kira 18,500 orang maut atau hilang dan tiga loji nuklear juga musnah di Fukushima.

Mengikut penghakiman Mahkamah Tinggi Sendai pada April 2018, guru mengarahkan murid berkenaan berpindah ke taman permainan sekolah itu dan mereka semua duduk di situ selama 40 minit susulan gempa bumi.

Sebaik mula berpindah ke kawasan tebing sungai setinggi tujuh meter, kanak-kanak dan guru mereka itu dihanyutkan ombak tsunami.

Susulan itu, mahkamah berkenaan menambah pampasan diberikan mahkamah daerah kepada 1.43 bilion yen kerana menganggap pihak berkuasa gagal memenuhi tanggungjawab mengemas kini manual pengurusan risiko sejajar dengan keadaan sekolah itu yang hanya terletak pada ketinggian 1.5 meter dari aras laut dan berhampiran tebing sungai.

Mahkamah mendapati sekolah itu gagal memilih gunung berhampiran sebagai tempat pemindahan dalam keadaan seperti itu.

Sementara itu, pegawai Ishinomaki yang dihubungi AFP berkata, bandar itu memperkenalkan pembaharuan dalam langkah keselamatan ketika bencana sejak tsunami 2011, tetapi tidak mengulas keputusan mahkamah itu.


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic


loading...