EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Diet mana paling berkesan and popular di Malaysia?

0 month ago, 20-Nov-2020



Diet mana yang paling sesuai dan berkesan? Ada banyak, di Facebook juga ada banyak group tapi manakah yang menjadi pilihan?

Bagi memudahkan anda membuat pilihan, ini senarai lima diet popular yang diamalkan di Malaysia:

1. Intermittent Fasting (IF)

Ada yang mengatakan IF bukanlah diet tetapi the way of life atau cara hidup.

Konsepnya mudah, orang yang mengamalkannya harus berpuasa untuk satu tempoh yang agak lama, sekurang-kurangnya 14 ke 16 jam sehari untuk mendapatkan kesan yang lebih efektif.

Bahkan, boleh juga berpuasa sehingga 18 jam, 23 jam, 24 jam, 48 jam atau 72 jam. Ada juga yang mengamalkan OMAD (One Meal A Day), hanya sekali makan dalam tempoh 24 jam.

Menariknya, waktu tidur juga dianggap sebagai tempoh berpuasa dan dalam tempoh itu juga, mereka boleh minum air kosong, teh atau kopi o tanpa gula atau menggunakan pengganti gula seperti stevia yang rendah kalori.

Pada waktu berbuka pula, mereka boleh makan apa sahaja tapi dinasihatkan untuk makan dalam jumlah yang terkawal, tidak begitu banyak supaya kesannya lebih ketara. Jika ditambah dengan senaman, kesannya pasti menghadirkan senyuman di wajah pengamalnya.

Setakat ini, ramai yang sudah berjaya malah selebriti terkenal, Lisa Surihani juga merupakan salah seorang pengamal IF.

2. Diet Kalori



Lelaki memerlukan lebih banyak kalori berbanding wanita disebabkan peratusan otot yang lebih banyak pada tubuh mereka.

Begitupun, jumlah kalori diperlukan bagi setiap orang adalah berbeza namun lazimnya, lelaki memerlukan 2,000 kalori manakala perempuan pula 1,800 kalori dalam sehari.

Dalam regim Diet Kalori, jumlah kalori yang masuk perlulah kurang daripada itu untuk memastikan berlakunya penurunan berat badan dengan lebih berkesan.

Pengamalnya perlu tahu jumlah kalori dalam makanan dan pastikan makan dalam kuantiti mencukupi, tidak lebih daripada keperluan kalori seharian.

Zaman serba canggih kini lebih mudah, banyak aplikasi boleh membantu mereka mengira kalori. Berdasarkan aplikasi tersebut, makanan bergoreng rupanya sungguh tinggi kalorinya malah kudap-kudap seperti pisang goreng juga agak tinggi.

Sekiranya mereka berasakan pengambilan kalori harian agak tinggi, lebihan itu boleh dibakar dengan bersukan.

Antara yang menjadi pilihan adalah berjoging dan andainya mahu lebih ekstrem, boleh dicuba latihan Tabata atau HIIT (High Intensive Interval Training).

3. Diet Atkins


Antara diet yang paling popular beberapa tahun lepas - mungkin juga masih popular sehingga sekarang - ramai juga yang berjaya menurunkan berat badan dengan mengamalkannya.

Diambil daripada nama penciptanya, Dr Robert Atkins, diet ini sangat popular bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

Konsepnya mudah namun agak mencabar terutamanya buat mereka yang baru ingin berjinak-jinak dengan diet. Namun, jika berdisiplin, tidak mustahil impian mendapatkan badan idaman mampu direalisasikan.

Secara asasnya, diet ini berkisar kepada pengurangan pengambilan karbohidrat dalam diet harian. 

Maksudnya, makanan seperti nasi, roti, mi dan sumber karbohidrat lain dikurangkan atau ditiadakan langsung dalam nutrisi.

makanan digalakkan adalah makanan kaya dengan protein seperti ikan, ayam dan daging. Karbohidrat? Disingkirkan sama sekali.

Konsep diet ini adalah dengan meletakkan badan kita dalam peringkat ketosis peringkat di mana tubuh badan menggunakan ketones bodies iaitu produk sampingan untuk metabolisme protein sebagai sumber tenaga.

4. Diet Keto

Contoh diet Keto bersama salmon. Yummy!


Hampir sama dengan Atkins, diet ini merupakan diet yang sangat rendah dengan karbohidrat namun tinggi lemak, protein pula pada kadar sederhana.

Diet ini pada asalnya digunakan untuk merawat penyakit sawan pada tahun 1920an namun pakar kesihatan mendapati ia juga berkesan untuk menurunkan berat badan.

Badan memerlukan karbohidrat yang kemudiannya ditukar menjadi glukosa untuk tenga. Apabila karbohidrat dalam badan rendah, badan akan mencari sumber lain untuk ditukar menjadi tenaga.

Dalam proses ketosis, lemak tidak disimpan dalam badan kerana telah dibakar menjadi lemak dan oleh sebab itu, akan berlakunya penurunan berat badan dengan banyak.

Antara makanan disarankan dalam diet ini ialah avokado, santan, keju, mentega, minyak sayuran, pendek kata, makanan yang mempunyai banyak lemak. Protein sederhana, karbohidrat hanya sedikit.

5. Diet suku-suku separuh


Dilancarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), diet ini secara asasnya sangat mudah.

Suku bahagian pinggan diisi dengan sumber karbohidrat seperti nasi atau roti, suku pinggan lagi diisi dengan sumber protein seperti ikan, ayam, daging dan kekacang.

Manakala separuh pinggan lagi diisi dengan buah dan sayur. Dengan mengamalkan konsep ini, seseorang dapat mengelakkan masalah obesiti yang akan membawa pelbagai penyakit tidak berjangkit.

Konsep diet ini dipromosikan meluas di hospital-hospital kerajaan di seluruh Malaysia dan pastinya, ramai pernah terlihat poster tersebut. Sambutan terhadap diet ini juga makin lama makin memberangsangkan.

Bahkan, ada pihak yang menjual pinggan khas suku-suku separuh bagi memudahkan masyarakat mengamalkannya. Sehingga kini, nampaknya ramai sudah berjaya dengan mengamalkan diet tersebut.

Jika anda ingin mendapatkan maklumat mengenai makanan yang sesuai diamalkan dalam diet ini, layari saja internet dan dari situ anda akan dapati ramai orang berkongsikan menu mereka.

Persoalan utamanya, yang manakah paling berkesan? IF, diet kalori, Atkins, Keto atau suku-suku separuh?

Hakikatnya, semua jenis diet di atas memang berkesan namun ia bergantung kepada individu dan keazaman anda untuk memastikan dapat mematuhi peraturan dalam diet itu. Mana paling berkesan - itu bergantung kepada anda.

Apa yang pasti, ramai pakar kesihatan berkata, jika ingin kurangkan berat badan, ia haruslah disertai juga dengan senaman supaya kita sentiasa sihat. Tidak salah jika cuba sebegini - 80 peratus penjagaan makanan, 20 peratus senaman.

Selain itu, kurangkan pengambilan gula dalam nutrisi seharian kerana ia boleh menyukarkan proses pengurangan berat badan.

Memetik kata-kata yang pernah popular dulu: Kurangkan manis dalam minuman, tambahkan manis dalam senyuman.


Artikel asal ASTRO AWANI




SUMBER : rancaktv.com



Live Website Traffic


loading...