EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Pahang Rangers idam kekal rekod bersih

4 month ago, 12-Jul-2019

SELEPAS lebih dua minggu berehat, Pahang Rangers kembali menyambung aksi Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) 2019 dengan melayan kunjungan Kedah di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan esok.

Skuad bimbingan Taufik Yahyah itu memulakan kempen dengan dua kemenangan ke atas Kuala Lumpur (4-2) dan KL City (4-3) dan kini menyasarkan kemenangan ketiga berturut-turut, dengan mahu menjadikan Kedah mangsa terbaharu.

Tonggak utama Pahang Rangers, Khairul Effendy Bahrin berkata, motivasi dalam kem pasukan berada pada tahap terbaik dan mereka sudah bersedia menyajikan satu lagi aksi bertenaga di hadapan penyokong sendiri.

"Berbanding pasukan lain, kami paling lama berehat berikutan penundaan aksi menentang Selangor. Jadi saya harap tempoh rehat panjang tidak menjejaskan rentak permainan sebaliknya memberi kami ruang memperbaiki kelemahan.

Kita sasar kekalkan rekod bersih namun sedar Kedah tidak boleh dipandang sebelah mata. Mereka tidak akan beri laluan mudah walaupun selepas tiga perlawanan mereka masih belum menang. Jadi sudah tentu Kedah akan cuba bangkit memburu kemenangan pada aksi ini.

Mereka pastinya tidak mahu terus tercicir mata, jadi penting untuk kami fokus sepanjang perlawanan, mengelak kesilapan, bermain ikut sistem dan arahan jurulatih untuk meraih tiga mata," ujar Khairul Effendy yang menggalas tanggungjawab selaku ketua pasukan berikutan kecederaan panjang dialami Akmarulnizam Idris.

Khairul Effendy yang juga kapten Harimau Malaya, turut memberikan kredit kepada penyokong Pahang Rangers yang disifatkannya sebagai luar biasa dan berharap mereka akan sekali lagi turun membanjiri SUKPA dan menyuntik kekuatan tambahan kepada pasukan.

Sebagai rekod, Pahang Rangers ketika ini di kedudukan ketiga dengan enam mata manakala Kedah pula di kedudukan ketujuh dengan dua mata hasil dua keputusan seri dan satu kekalahan.


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic


loading...