EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Origi sambung kontrak dengan Liverpool

1 month ago, 11-Jul-2019

LIVERPOOL mengikat wira Liga Juara-Juara mereka, Divock Origi menerusi kontrak jangka panjang baharu, umum kelab itu, semalam.

"Divock Origi menunjukkan komitmen terhadap masa depannya di Liverpool dengan menandatangani kontrak jangka panjang baharu di Melwood, kata Liverpool dalam satu kenyataan tetapi tidak memberikan perincian lanjut mengenainya.

Pemain antarabangsa Belgium itu tidak begitu menonjol di Anfield sejak tiba dari Lille pada 2014.

Begitupun, dia mengganas apabila meledak dua gol ketika kemenangan 4-0 Reds ke atas Barcelona di separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu untuk mengatasi defisit kekalahan 3-0 pada aksi pertama.

Origi kemudian terus meledak pada aksi final menentang Tottenham bagi membantu Liverpool menjulang gelaran elit Eropah berkenaan buat kali keenam.

Ia cerita yang hanya bola sepak boleh lakukan, kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

Kami mahu menandatanganinya sekali lagi, melanjutkan kontraknya dan apa yang bagus adalah dia juga mahu kekal. Dia menyedari ia masa yang sukar tetapi kami tidak pernah berputus asa terhadapnya.

Origi memasuki tempoh 12 bulan terakhirnya di Anfield dan perbincangan mengenai kontrak baharu tertangguh berikutan kebimbangan mengenai peluangnya untuk diturunkan.

Saya sangat gembira dapat menandatangani kontrak ini dan ia meningkatkan semangat pada permulaan musim, selain pada penghujung musim tahun lalu, kata Origi.

Apabila saya perlu membuat keputusan, saya hanya mahu bercakap dengan kelab terlebih dulu selain wakil saya, tetapi perasaannya adalah saya sentiasa mahu kekal dan melanjutkan kontrak saya.

Origi menghabiskan dua daripada lima musimnya di Liverpool sebagai pemain pinjaman ke Lille dan Wolfsburg dan tampak bersedia untuk meninggalkan kelab itu selepas dibayangi Roberto Firmino, Mohamed Salah, Sadio Mane dan Daniel Sturridge.


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic





www.edisiviral.com