EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Orang Perempuan Kena Tahu Memasak, Walaupun Tak Pernah Pegang Senduk PUAN SRI NORMALA SAMSUDIN

0 month ago, 22-May-2020

Kalau dulu setiap kali menonton berita mahupun rancangan televisyen kendaliannya, kita sering terpukau dengan pesona yang dimiliki personaliti penyiaran tersohor ini. Puan Sri Normala Samsudin dan gelaran Wanita Melayu Terakhir sememangnya tak dapat dipisahkan.

Wajah terkini Puan Sri Normala Samsudin yang masih kekal menawan.

Kini Puan Sri Normala bebas daripada pentas glamor mahupun spotlight umum. Tenang menjalani kehidupan peribadi, isteri kepada bekas ahli politik Tan Sri Azmi Khalid ini menetap di Perlis. Hanya sekali sekala sahaja akan turun ke Kuala Lumpur jika ada urusan penting.

Bersama suami tercinta, Tan Sri Azmi Khalid.

PERNAH HIDUP SUSAH SEMASA KECIL
Benarlah, pengalaman hidup menjadikan siapa kita pada hari ini. Banyak yang kita belajar maka banyaklah juga pengalaman yang akan kita dapat. Berikut perkongsian paling berharga daripada Puan Sri Normala Samsudin buat para pembaca.

Ketika kecil saya sudah merasa hidup susah. Hidup membantu keluarga, melihat bagaimana ibu yang bergelar ibu tunggal mencari wang demi keluarga. Saya melihat ibu seorang yang sangat kuat. Macam-macam usaha yang dilakukan oleh ibu demi mencari sesuap nasi antaranya dengan menoreh getah, berkebun dan sebagainya.

Ibu tersayang Puan Sri Normala Samsudin.

Kalau bulan Ramadan ibu akan kerja lebih kuat. Wang hasil torehan getah, ibu akan kumpul untuk membeli kain pasang dan menjahitnya pada sebelah malam untuk dijadikan baju raya. Alhamdulillah berkat rajin belajar saya juga pandai menjahit antaranya langsir dan baju kurung Johor. Semua kerja-kerja orang perempuan saya dah belajar sejak kecil. Dalam erti kata lain persediaan saya untuk menjadi seorang isteri seperti memasak dan melakukan kerja-kerja rumah sudah dididik oleh ibu sejak awal lagi.

Saya kagum dengan ibu kerana semangatnya yang luar biasa telah menjadikan siapa saya sekarang ini. Antara kata-kata ibu yang paling terkesan dalam hidup saya ialah tentang hikmah perceraian. Ketika saya pernah gagal dalam perkahwinan, demi menjaga hati saya, ibu berkata soal jodoh Allah yang tentukan. Semua yang terjadi ada hikmah dan kita kena sabar. Ringkas saja kata-katanya tetapi penuh makna tersirat.

PANDAI MEMASAK

Bagi saya orang perempuan perlu ada usaha untuk belajar memasak. Sedap atau tidak itu bukan perkara utama. Apa yang penting adalah usaha dan sentiasa praktis walaupun tak pernah pegang senduk. Saya sendiri sejak usia 9 tahun sudah pandai memasak. Sebagai anak sulung pagi-pagi lagi saya sudah ke dapur untuk masak cekodok dan lempeng pisang.

Saya dan adik perempuan memang diajar untuk tahu memasak sejak kecil. Bukan hanya belajar tanak nasi atas dapur kayu dan membuat kuih-kuih kampung bahkan kami juga belajar bagaimana cara nak kukur kelapa. Selain menoreh getah, ibu juga adalah penjual kuih-kuih kampung.

Antara menu-menu daripada air tangan Puan Sri Normala.

Siang ibu menorah getah, malam pula ibu sediakan bahan-bahan untuk buat kuih. Sebelum Subuh kuih dah siap untuk dihantar kepada penjual.Walaupun untung tak besar namun dapatlah juga beli baju sekolah dan pensil. Lagi pun niat saya bantu ibu buat kuih nak cari duit belanja sekolah. Lama-lama jadi seronok pula bila dapat upah bantu buat kuih. Hasilnya, kita menjadi anak-anak yang sentiasa ingat kesusahan orang tua yang membesarkan kita.

RAMADAN
Ramadan tahun ini tak banyak beza seperti tahun-tahun sudah. Selalunya sebelum Ramadan saya akan buat perancangan awal dari segi lokasi sama ada akan berpuasa di Perlis atau Shah Alam. Kalau di Perlis sambutannya lebih meriah bermula pada waktu Subuh sampailah ke sahur.

Di sebalik tabir sesi fotografi NONA MEI 2020 yang lalu.

Dari segi juadah saya sendiri yang akan memasak untuk keluarga walaupun ada pembantu rumah. Saya yang akan tentukan apa yang hendak dimasak termasuklah bahan-bahan yang diperlukan. Selalunya suami dan anak-anak sukakan hidangan yang ringkas-ringkas sahaja dan tidak pedas. Kalau Ruhila selalunya akan meminta saya untuk masakkan laksa, kengsom atau masak rebus asam singgang.

Bersama anak perempuan, Dr Ruhila. Sama cantik!

Antara kenangan malam raya paling manis ialah ketika saya dan adik beradik perempuan sama-sama membuat kuih raya, lemang dan ketupat. Selalunya selepas dengar pengumuman raya barulah kami akan pergi menangkap ayam peliharaan keluarga kemudian disembelih untuk dijadikan rendang. Momen ini paling seronok kerana kami sangat teruja untuk menyambut raya.

NASIHAT
Doa ibu sangat penting kepada anak-anak. Saya sering mengingatkan anak-anak perempuan tentang persediaan dan tanggungjawab sebagai isteri. Dalam rumahtangga perlu banyak bersabar dan berkompromi. Walaupun adakalanya kita rasa kita betul tetapi cuba bercakap secara baik dengan suami. Kalau di tempat kerja kita seorang ketua, di rumah kita tetap seorang isteri dan ibu. Sentiasa berdoa agar suami mudah lembut hati.

Wanita zaman dulu lebih banyak bertenang dan sabar. Selalunya orang-orang yang lebih tua akan sentiasa ada untuk memberikan nasihat. Contoh ibu saya, walau macam mana pun kehidupannnya dalam rumahtangga ibu tidak pernah bising atau tunjuk depan anak-anak. Tidak bercerita sana sini.

Sebaliknya pula yang berlaku pada zaman ini. Ada masalah sikit terus kongsi di media sosial. Ini sebenarnya satu penyakit merbahaya. Bagaimana buruknya keadaan rumahtangga atau terguris hati dengan suami jangan sesekali memuat naik status di media sosial. Saya sendiri tak menyokong perbuatan ini.

Ibu dan anak, sama cantik.

Bagi saya tanpa ilmu seseorang itu tak akan mampu pergi lebih jauh. Sebagai wanita juga kita perlu bekerja. Jangan terlalu bergantung kepada duit suami terutama pada zaman sekarang. Harus ada prinsip saya perlu bekerja. Maka, setiap anak perlu dididik dengan pelajaran. Sekurang-kurangnya dengan adanya ilmu mereka tahu untuk handle kehidupan yang kian mencabar.

Sekarang ini saya banyak menguruskan kerja-kerja di rumah termasuk berkebun seperti menanam ulam ulaman, pokok pisang, pokok rambutan dan sebagainya. Memandangkan anak-anak pun dah besar maka masa saya lebih banyak di Perlis. Selain itu, saya juga aktif dengan aktiviti hiking.

Kredit Foto: Instagram @normalasamsudinofficial


SUMBER : nona.my

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...