EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Norza Zakaria gesa kerajaan, Hidupkan semula Program Rakan Sukan

0 month ago, 11-Jan-2022


KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menegaskan Program Rakan Sukan perlu dihidupkan semula secepat mungkin bagi menampung pengurangan peruntukan daripada kerajaan.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mencadangkan untuk permulaan, kerajaan mungkin boleh memberikan insentif yang lebih kepada syarikat swasta yang meraih keuntungan besar daripada pandemik COVID-19.

"Disebabkan COVID-19, kerajaan terpaksa menghabiskan banyak peruntukan untuk mengurangkan impak COVID-19 dan sebab itu ada pengurangan peruntukan kerajaan untuk sektor sukan.

"Jadi, kita perlu berfikir sebaliknya kalau kita bercakap mengenai Program Rakan Sukan. Mungkin kerajaan boleh memberi insentif yang lebih besar kepada syarikat yang mendapat keuntungan besar daripada COVID-19.

"Namun, untuk mereka melibatkan diri secara aktif, kita juga rasa pihak kerajaan perlu mencari jalan untuk memberi insentif cukai dan lain-lain kepada sektor swasta.

"Jadi, ia bukan lagi mengenai sama ada ia perlu diwujudkan semula atau tidak tetapi saya merasakan ia mesti dilaksanakan.

"Saya percaya perkara ini memerlukan kelulusan daripada Kabinet dan saya sudah meminta bantuan daripada agensi kerajaan untuk membawa perkara ini ke peringkat tertinggi secepat mungkin," kata Norza ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif MOM kali ke-3 sesi 2021/2025 di sini, hari ini.

Beliau berkata, usaha menghidupkan semula Program Rakan Sukan bukanlah bermaksud untuk memberi kemewahan kepada persatuan sukan kebangsaan tetapi bagi membantu menampung kekurangan peruntukan yang diterima daripada kerajaan sekali gus memastikan sukan negara kekal kompetitif.

"MOM, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) perlu duduk berbincang bagi melihat berapa jumlah kekurangan yang perlu ditampung dan mengenal pasti persatuan sukan mana yang perlu dibantu.

"Kalau kita lihat JKK (Jawatankuasa Kerja) ia membabitkan 16 sukan tetapi ada banyak lagi persatuan sukan lain dan kita perlu melihat perkara ini secara holistik," katanya.

Program Rakan Sukan diilhamkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Ghani Othman, dan dilancarkan pada 1 Ogos 1994.

Program lima tahun itu bertujuan menyatukan tenaga, kepakaran dan sumber kewangan, terutama dari syarikat korporat dan persatuan sukan, bagi mencungkil bakat-bakat baru serta meningkatkan prestasi sukan negara.

Sebanyak 28 sektor korporat serta 27 persatuan sukan kebangsaan bersetuju menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang berjaya mengumpulkan dana berjumlah RM18.65 juta setahun.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjadi penerima terbesar apabila disalurkan dana RM4 juta oleh rakan sukannya, Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (Proton), manakala persatuan sukan lain, rata-rata menerima RM1 juta setahun.

Sebagai galakan, syarikat korporat terbabit pula diberi status pengecualian cukai oleh Kementerian Kewangan.


BH




............oo000oo........... 
PENAFIAN1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.


SUMBER : 1media.my



Live Website Traffic


loading...