EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Nilai dagangan sektor agrikomoditi RM88.3 bilion

0 month ago, 09-Jun-2021

CYBERJAYA Sektor agrikomoditi mencatatkan nilai dagangan sebanyak RM88.3 bilion iaitu meningkat sebanyak RM34.2 bilion sepanjang tempoh Januari hingga April 2021.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, imbangan dagangan pula adalah sebanyak RM48 bilion.

Menurut beliau, pendapatan eksport produk agrikomoditi merekodkan RM68.1 bilion atau 17.6 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara.

Pendapatan ini mencatatkan pertumbuhan positif iaitu sebanyak 66.5 peratus berbanding RM40.9 bilion bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Peningkatan ini disebabkan oleh kenaikan ketara harga agrikomoditi utama yang terus mencatatkan peningkatan harga purata sepanjang tempoh empat bulan tersebut, katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, produk berasaskan getah merupakan penyumbang terbesar bagi eksport agrikomoditi dengan sumbangan sebanyak 43.9 peratus.

Beliau menambah, sektor berkenaan terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila mencatatkan peratusan peningkatan eksport sebanyak 175 peratus atau RM29.9 bilion.

Peningkatan ini adalah disebabkan oleh lonjakan nilai eksport produk berasaskan lateks terutama sarung tangan getah yang telah merekodkan peningkatan dua kali ganda iaitu sebanyak 257.6 peratus kepada RM24.5 bilion berbanding RM6.9 bilion tempoh sama pada tahun 2020.

Kuantiti eksport bagi sarung tangan getah turut mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 12.8 peratus kepada 349,100 tan berbanding 309,400 tan bagi tempoh yang sama pada 2020.

Peningkatan ketara eksport produk berasaskan getah adalah didorong oleh permintaan tinggi daripada sektor kesihatan di seluruh dunia, jelasnya.

Mohd Khairuddin memberitahu, produk berasaskan sawit yang merupakan 40.6 peratus daripada jumlah pendapatan eksport agrikomoditi telah mencatatkan peningkatan sebanyak 29.5 peratus iaitu RM27.6 bilion pada tahun ini.

Namun, beliau berkata, kuantiti eksport produk berasaskan sawit mencatatkan penurunan sebanyak 4.5 peratus kepada 7.2 juta tan berbeza pada tahun sebelumnya dalam tempoh yang sama iaitu 7.6 juta tan.

Produk berasaskan kayu-kayan merupakan penyumbang ketiga terbesar dengan sumbangan sebanyak 12.2 peratus kepada pendapatan eksport keseluruhan sektor agrikomoditi.

Sepanjang tempoh Januari hingga April 2021, nilai eksport adalah sebanyak RM8.3 bilion iaitu mencatatkan peningkatan 29.2 peratus, katanya.

Mohd Khairuddin berkata, pendapatan eksport bagi produk koko dan lada masing-masing mencatatkan peningkatan.

Menurut beliau, tahun ini, nilai eksport produk koko adalah RM2.2 bilion dengan peningkatan 2.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Manakala nilai eksport produk lada bagi tempoh berkenaan juga adalah RM42.1 juta iaitu peningkatan sebanyak 28 peratus berbanding tahun 2020, ujarnya.

Mohd Khairuddin berkata, berdasarkan prestasi perdagangan sektor agrikomoditi bagi tempoh Januari hingga April 2021, kementeriannya yakin prestasi perdagangan akan kekal positif untuk sepanjang baki tahun 2021.

KPPK juga percaya melalui suntikan dana tambahan oleh kerajaan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan PEMERKASA+ akan merancakkan lagi momentum pembangunan industri agrikomoditi negara, jelasnya. EDISI 9



SUMBER : edisi9.com.my



Live Website Traffic


loading...