EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Muhyiddin: APEC akan pastikan pergerakan lancar rentas sempadan barangan penting

0 month ago, 21-Nov-2020

KUALA LUMPUR,. Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) berikrar untuk tidak berpatah balik kebelakang dan menggunakan langkah-langkah perlindungan perdagangan bagi mengekalkan pasaran dan sempadan terbuka, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi APEC 2020 itu berkata ini termasuk memastikan pergerakan lancar rentas sempadan barangan penting seperti makanan, ubat-ubatan dan bekalan perubatan serta barangan keperluan lain semasa pandemik COVID-19 bagi memastikan rantaian bekalan tanpa halangan dalam rantau ini.

Keutamaan segera APEC adalah bagi memastikan kesediaan institusi penjagaan kesihatan dan perubatan untuk menyediakan rawatan kritikal serta menguruskan dasar kesihatan awam untuk membendung penularan COVID-19.

Dari perspektif ekonomi, impaknya adalah sangat teruk, dengan banyak syarikat dan perniagaan berdepan masalah atau malahan ditutup. Selain itu, rantau ini juga menyaksikan kadar kehilangan pekerjaan yang amat besar, kata Muhyiddin pada sidang media maya di luar acara Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC di sini, malam ini.

Perdana Menteri berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai sama ada terdapat isu-isu berbangkit semasa mesyuarat tersebut.

Beliau berkata tanggungjawab APEC pada tahun ini memberi tumpuan kepada kepentingan pemulihan ekonomi pasca pandemik COVID-19.

Tidak kurang pentingnya ialah mempercepatkan kerja-kerja membangunkan vaksin COVID-19 dan menjadikannya produk awam global, yang boleh didapati dan mampu milik kepada semua, iaitu vaksin yang multilateral, katanya.

Muhyiddin berkata skala impak yang besar daripada pandemik terhadap ekonomi APEC boleh menyebabkan pertumbuhan serantau merosot sebanyak 2.7 peratus pada 2020, berbanding pertumbuhan 3.6 peratus pada 2019, menjadikannya penurunan paling ketara sejak kadar pertumbuhan hampir sifar dicatatkan pada 2009 semasa krisis kewangan global.

Bagi vaksin COVID-19, katanya semua Pemimpin APEC telah menyatakan komitmen mereka untuk bekerjasama dan menyokong antara satu sama lain bagi akses yang saksama kepada vaksin.

Gesaan penting kepada tindakan ialah Deklarasi mengenai Memudahcara Pergerakan Barangan Keperluan di APEC, yang dipelopori oleh Malaysia, katanya.

Deklarasi ini bertujuan memastikan barangan perlu dapat melalui sempadan tanpa kekangan membabitkan langkah-langkah perdagangan yang tidak adil.

Pengisytiharan ini akan membawa kepada aliran perdagangan dan pelaburan yang lebih kondusif dalam kalangan ekonomi-ekonomi APEC menerusi sistem perdagangan terbuka, cemerlang, telus serta mampan, kata beliau.

Perdana Menteri berkata para pemimpin APEC turut mengakui keperluan kritikal golongan yang paling teruk terjejas akibat pandemik tersebut serta kepentingan untuk memperkasa sektor-sektor ekonomi.

Kita juga menyambut baik sumbangan sumber-sumber tambahan di serata APEC bagi menangani pandemik itu serta menyokong pekerja dan sektor-sektor terbabit menerusi proses pemulihan ekonomi, katanya.

Muhyiddin turut menyifatkan mesyuarat-mesyuarat APEC 2020 yang berlangsung di Kuala Lumpur sebagai titik penting bagi organisasi itu dalam usaha untuk bergerak melangkaui agenda Matlamat Bogor.

Tema mesyuarat APEC 2020 iaitu Mengoptimumkan Potensi Insan Ke Arah Masa Depan Kemakmuran Bersama juga berperanan untuk menjadi panduan bagi pembangunan serta pelaksanaan dasar-dasar utama.

Ini akan bergerak lebih jauh daripada Matlamat Bogor yang hanya menumpukan perdagangan dan pelaburan, kata beliau.

BERNAMA





Live Website Traffic


loading...