EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Motosikal vintaj warisan keluarga

0 month ago, 11-Aug-2019

KE MANA tumpahnya kuah, jika tak ke nasi. Perumpamaan ini sesuai menggambarkan bagi keluarga yang menjadi pengumpul dan peminat motosikal klasik British dari Kampung Seri Kinta, Ipoh.

Shahril Yahya, 63, mula meminati dan mengumpul motosikal berkenaan sejak zaman muda sehingga sekarang dan kini minat itu diwarisi kelima-lima anaknya.

Beliau memiliki tujuh koleksi motosikal vintaj British dari jenama BSA, Triumph dan Northon serta beberapa motosikal klasik seperti Honda CG serta pelbagai varian motosikal jenis cub.

Katanya, tujuh jentera British itu dianggap sebagai harta sangat bernilai yang kini diwariskan kepada semua anaknya berikutan tidak lagi menunggang motosikal berkenaan disebabkan faktor usia.

Semua empat anak lelaki dan seorang perempuan meminati hobi sama.

Minat anak wujud secara semula jadi, mungkin disebabkan sejak kecil mereka sentiasa membonceng saya sama ada ketika menunggang bersendirian atau berkonvoi.

Kini hobi dan minat saya ini turut diwarisi menantu dan empat cucu, katanya.

SHAHRIL bersama motosikal vintaj miliknya. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Shahril berkata, antara motosikal yang tertua dalam koleksinya adalah BSA Slooper buatan 1920-an yang sukar ditemui dan mempunyai nilai pasaran tinggi.

Malah, katanya, seorang pengusaha hotel di Pulau Pangkor pernah menawarkan RM75,000 untuk memiliki motosikal itu beberapa tahun lalu, namun ditolak atas alasan tersendiri.

Katanya, dalam kalangan peminat motosikal klasik British, setiap model seperti BSA, Triumph, Northon dan sebagainya mempunyai nilai yang sangat tinggi biarpun keadaannya ibarat besi buruk.

Dalam pada itu, anak bongsunya, Siti Norasyikin Shahril, 22, berkata minatnya lahir sejak kecil apabila dimanjakan bapanya yang sering membawanya dalam setiap konvoi motosikal vintaj dan klasik ke seluruh negara.

Sejak kecil, ayah memperkenal kami dalam dunia permotoran, khususnya jentera vintaj dan klasik.

Galakan dan sokongan ayah, abang dan kakak ipar, membuatkan saya ingin menceburi hobi ini dan ternyata wujud satu kepuasan yang tak dapat digambarkan.

Saya rasa seronok menunggang motosikal jenis ini. Setakat ini, saya sudah menunggang beberapa model klasik seperti Honda CG serta beberapa model klasik buatan Suzuki, Honda dan Yamaha yang berkapasiti enjin 100 hingga 500 kuasa kuda dan ke atas, katanya.

Siti Norasyikin yang baru menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok di Kedah, kini semakin selesa dengan jentera vintaj dan klasik itu dan merasa kepuasan tidak terhingga apabila dapat menunggangnya.

Siti Norasyikin bersama motosikal vintaj keluaran British warisan keluarganya. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic





www.edisiviral.com