www.edisiviral.com

Berita dan informasi edisi viral di Malaysia.


68 motosikal musnah terbakar di Apartmen Alor Vista Relau, Bayan Lepas

0 month ago, 17-Apr-2019



GEORGE TOWN, 17 April - Sebanyak 68 buah motosikal yang diparkir di kawasan meletak kenderaan apartmen Taman Alor Vista Relau, Bayan Lepas dekat sini musnah dalam kebakaran awal pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong Muzamer Mohd Salleh berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan berlaku kebakaran di kawasan parkir itu pukul 2.52 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.


"Sebaik tiba, api sedang marak dan sebahagian motosikal berkenaan telah musnah. Pihak kami menjalankan kerja memadam kebakaran dari terus merebak ke motosikal serta kenderaan lain yang terdapat di situ," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Katanya tindakan pantas pihak bomba mengawal dan memadam kebakaran telah berjaya menyelamatkan 300 hingga 400 buah motosikal yang terdapat di kawasan parkir berkenaan.

Beliau berkata sebanyak 40 buah motosikal musnah 100 peratus dan bakinya terbakar kira-kira 50 peratus manakala empat buah kereta yang berada di situ turut terbakar akibat terkena bahang api daripada kebakaran itu.

Muzamer berkata setakat ini pasukan forensik kebakaran masih lagi menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan mengesan sekiranya terdapat unsur khianat sehingga menyebabkan kebakaran berlaku.

Katanya kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 4.00 pagi dan pihaknya membuka Pusat Sehenti Pasca Insiden (PSPI) bagi memudahkan pemilik motosikal yang terlibat membuat laporan.

Sementara itu, seorang mangsa Zulfadli Hishamudin, 35, berkata motosikal jenis Kawasaki Z800 miliknya yang berharga kira-kira RM35,000 baru dibeli tiga minggu lepas musnah dalam kebakaran berkenaan.

"Saya dapat tahu terdapat kebakaran di kawasan parkir kenderaan kira-kira pukul 3.00 pagi tadi dan terus bergegas untuk melihat apa yang berlaku kerana motosikal saya juga diletakkan di situ. Saya sangat sedih kerana motosikal itu hangus terbakar," katanya yang membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Seorang lagi mangsa, Husni Abdul Wahab, 52, berkata dua buah motosikal jenis Honda dan Yamaha milik beliau dan anak lelakinya yang diparkir di situ turut musnah dalam kebakaran berkenaan.

"Saya harap pihak berkuasa terutama polis dapat menyiasat sama ada kebakaran itu berunsur khianat atau sebaliknya dan jika ia ada unsur jenayah, kami mahu tindakan undang-undang diambil terhadap pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

BERNAMA




SUMBER : penangkini.com


Tags

Travel New York London IKEA NORWAY DIY Ideas Baby Family News Clothing Shopping Sports Games

Popular Posts


Related Posts