EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

MOTAC beri keutamaan suntikan vaksin kepada barisan hadapan pelancongan

0 month ago, 09-Jun-2021

KUCHING,. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memberi keutamaan suntikan vaksin kepada barisan hadapan pelancongan yang sedang bertugas dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukr. berkata, sehubungan itu kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha berkenaan.

Katanya, ia adalah termasuk bagi tujuan kuarantin, pengasingan dan pekerjaan untuk perkhidmatan perlu yang melibatkan tenaga kerja sektor perhotelan, petugas Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) dan penerbangan menerusi pelaksanaan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Pemberian suntikan vaksin bagi fasa pertama akan melibatkan petugas dalam kategori petugas hotel sebagai pusat kuarantin (berdaftar dengan MOTAC) dan petugas hotel bukan pusat kuarantin tetapi beroperasi sepanjang PKP 3.0 (berdaftar dengan MOTAC).

Selain itu petugas industri penerbangan yang masih bertugas bagi Jun 2021 (MAS, AirAsia dan Malindo) dan petugas MICE yang bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Nancy berkata fasa seterusnya akan melibatkan mereka yang berada dalam sub-sektor lain di bawah MOTAC berdasarkan kepada kelonggaran pengoperasian sektor ekonomi selepas PKP 3.0.

Beliau berkata, pelaksanaan ini dirancang bagi membantu untuk memulihkan industri pelancongan yang telah terjejas teruk akibat penularan pandemik COVID-19.

Ia akan dimulakan selepas fasa suntikan untuk anggota barisan hadapan dan golongan berisiko tinggi selesai dilaksanakan, katanya.

Menurut beliau komitmen ini boleh menjadi pemangkin buat industri pelancongan negara untuk kembali bangkit, seterusnya membantu negara dalam mempercepatkan fasa pemulihan ekonomi.

Dalam masa yang sama, MOTAC menerusi agensinya, Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB) telah berganding bahu bersama pemain industri menawarkan Pusat-pusat Persidangan dan Pameran sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk meningkatkan kadar vaksinasi kepada seluruh rakyat Malaysia, ujarnya.

Antaranya termasuklah Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru; Pusat Konvensyen Setia Spice, Pulau Pinang; Pusat Konvensyen Seberang Perai Arena, Pulau Pinang; Pusat Konvensyen Borneo Kuching; Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang dan Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, Pahang.

Langkah ini boleh membantu MOSTI dan KKM melancarkan proses pemberian suntikan vaksin di seluruh negara.

Pada masa yang sama, orang ramai diingatkan untuk terus mematuhi arahan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menjayakan matlamat untuk mengekang penularan pandemik COVID-19 di negara ini, kata Nancy.





Live Website Traffic


loading...