EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Van Dijk, Messi, Ronaldo intai anugerah UEFA

0 month ago, 15-Aug-2019

LIONEL Messi, Cristiano Ronaldo dan Virgil Van Dijk disenaraikan bagi merebut anugerah Pemain Terbaik Tahunan UEFA, umum badan induk bola sepak Eropah itu hari ini.

Ketika Ronaldo, pemenang tiga kali, berada dalam senarai tiga terakhir anugerah itu sejak ia diperkenalkan pada 2011, pertahanan tengah Van Dijk tampil kali pertama selepas membantu Liverpool memenangi Liga Juara-Juara musim lalu.

Van Dijk dinobat sebagai Pemain Terbaik Musim Liga Perdana Inggeris dan Pemain Terbaik Tahunan PFA serta mencetus inspirasi kejayaan keenam kelab Merseyside itu menjulang Piala Eropah.

Pemenang dua kali Messi muncul penjaring gol terbanyak La Liga Sepanyol (36 gol) dan Liga Juara-Juara (12 gol) musim lalu namun pasukannya Barcelona terkandas pada separuh akhir di tangan Liverpool, yang mengatasi defisit tiga gol pada aksi kedua sebelum layak.

CRISTIANO RONALDO. FOTO AFP

Ronaldo, yang memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara lima kali, tidak begitu menyerlah di Eropah pada musim sulungnya bersama Juventus apabila kelab Itali itu tewas pada suku akhir di tangan Ajax Amsterdam.

Bagaimanapun, dia membantu Juve memastikan kejuaraan liga kali kelapan berturut-turut dengan 21 gol dan dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai Serie A.

Bagi anugerah wanita, Olympique Lyonnais menyapu bersih dengan penyerang Ada Hegerberg, pertahanan kanan Lucy Bronze dan pemain tengah Amandine Henry disenaraikan. Ada pemenang pertama anugerah Ballon dOr wanita tahun lalu.

Anugerah itu akan disampaikan ketika majlis undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di Monaco dua minggu lagi.


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic





www.edisiviral.com