EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Menulis semula riwayat kemerdekaan

0 month ago, 31-Aug-2021




Setiap kali tiba Ogos, kita yang mengaku Malaysia tanah airku pasti menoleh perjuangan generasi silam yang membebaskan negara daripada belenggu penjajah. Kemerdekaan ini sudah menjangkau usia 64 tahun. Tetapi bukanlah terlalu tua untuk kita mengutip iktibar dan memberi makna pada peristiwa amat bersejarah ini.

Sejarah ini tertulis dalam keadaan saki baki pemikiran penjajah yang masih menebal. Jadi banyaklah ungkapkan perihal perjuangan golongan politik berbanding yang lain-lain. Padahal pergerakan politik lahir lebih kurang sedekad sebelum merdeka.

Sedekad, bermula 1946 dengan tertubuhnya UMNO hingga 1957 tentunya tidak cukup untuk menyediakan prasarana spiritual dan fizikal bagi menuntut kemerdekaan. Lalu siapa yang mengasas tapak kemerdekaan sebelum wujudnya golongan politik? Inilah yang terpadam dalam sejarah dan kita wajar meriwayatkan semula supaya peristiwa besar ini adil kepada semua.

Sebelum 1946, ulama dan wartawan yang menyediakan pasak, tiang seri dan batu asas untuk mendirikan kemerdekaan di tapaknya yang bernama Malaya. Fragmen ini ada kelompangan dalam sejarah kemerdekaan. Golongan ulama seperti terpadam dan ini seolah-olah mengesahkan bahawa sejarah ditulis oleh yang menang.

Titik mula perjuangan dicetuskan oleh golongan ulama. Merekalah yang awal sekali berusaha membebaskan belenggu pemikiran terjajah dan menyalakan gagasan kemerdekaan. Ulama atau pemimpin agama adalah golongan yang paling dekat dengan rakyat bawahan di luar bandar juga pedalaman.

Bagaimana pun penjajah telah melabelkan sebahagian daripada ulama perjuang ini sebagai berhaluan kiri dan mendukung idealisme komunis. Memang benar ada komunis daripada golongan kiri. Tetapi melabelkan kiri itu komunis adalah kerja jahat penjajah.

Malangnya label ini tidak cuba dipecahkan walaupun sudah enam dekad negara mencapai kemerdekaan. Ini menunjukkan membebaskan pemikiran tertawan dalam kalangan kita bukan suatu yang mudah. Selepas negara merdeka, banyak pula yang belum merdeka. Mereka meneruskan sudut pandang penjajah yang tidak adil kepada sesetengah pejuang kiri yang terdiri daripada anak bangsa sendiri.

Di luar skrip sejarah yang ditulis penjajah, antara ulama awal yang bangkit sebagai pejuang kemerdekaan ialah Haji Mat Hassan Panglima Mat Munas atau Tok Janggut dan Tok Kenali di Kelantan, Haji Abdul Rahman Limbong, Sayid Abdul Rahman Sayid Muhammad al-Idrus atau Tok Ku Paloh di Terengganu dan Abu Bakar Baqir di Perak.

Ini hanya sebaris pendek nama ulama yang bukan sahaja menjadi guru agama malah pada masa yang sama meniupkan semangat kebangkitan mempertahankan bangsa, tanah air dan agama. Di seluruh ceruk rantau, mereka inilah yang menyalakan semangat bangkit dan melawan demi agama, bangsa dan negara.

Kedudukan ulama pula sangat berpengaruh dalam sistem sosial tradisional menjadi seruan mereka mudah tertanam di jiwa orang Melayu. Apatah lagi menentang penjajah tidak sahaja untuk kemerdekaan tetapi perjuangan menegakkan syiar Islam.
Di seluruh Malaya, pemikiran orang Melayu ditanam dengan semangat sayangkan negara dan berani bangkit berjuang untuk membebaskan dua bentuk penjajahan pertama ketenteraan dan kedua pemikiran yang tertawan.

Menentang penjajah berkait rapat dengan perjuangan menyelamatkan Islam. Ini kerana penjajahan berlaku dengan tiga tujuan agama, kuasa dan kekayaan (god, gold and glory). British tidak hanya menjajah tetapi juga menjarah, masa yang sama menyebarkan syiar Kristian melalui sekolah yang didirikan di Malaya.

Nama-nama sekolah Kristian masih ada hingga sekarang walaupun sesetengahnya diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan. Dulunya sekolah-sekolah ini menjadi tempat penyebaran syiar Kristian yang berlindung sebagai sebuah institusi pendidikan.

Golongan ulama amat faham akan hakikat ini dan mereka menjadikan perjuangan kemerdekaan sebagai satu usaha menyelamatkan agama sekaligus meluaskan syiar Islam. Hal ini tidak banyak tertulis dalam sejarah kemerdekaan daripada perspektif penjajah.

Kemerdekaan mempunyai kesan langsung daripada sudut perkembangan syiar agama Islam. Tanpa kemerdekaan sudah pasti usaha mengembangkan syiar Islam berdepan banyak halangan walaupun penjajah British tidak secara terbuka menentang Islam. Bagaimanapun mempertingkatkan penyebaran syiar Kristian.

Salah satu pendekatan membatasi perkembangan Islam ialah dengan menawarkan pedidikan moden di sekolah-sekolah Kristian di seluruh Malaya. Memang benar dengan memasuki sekolah penjajah tidak semestinya menjadikan seseorang itu Kristian. Matlamat British tidak sahaja mengkristiankan, tetapi juga memesongkan paksi umat terhadap Islam.

Hal ini lebih memudaratkan kerana individu berkenaan bercakap sebagai orang Islam yang pemikirannya telah dipesongkan dan selari dengan pandangan sekular penjajah. Hari ini pun perkara sama banyak berlaku dalam masyarakat di mana sekularis bercakap bagi pihak Islam.

Dengan kemerdekaan, perjuangan golongan ulama menjadi titik tolak penting ke arah penghayatan nilai Islam dan dapat dizahirkan dengan lebih bebas tanpa gangguan kuasa luar. Hal ini dibuktikan melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan.

Semua ini adalah sumbangan golongan ulama yang terpadam dalam perjuangan kemerdekaan. Bayangkan tanpa kebangkitan golongan ulama di peringkat bawah di kampung-kampung, penjajahan pasti mencairkan seterusnya melenyapkan Islam seperti yang berlaku di beberapa negara yang tidak jauh dari kita.

Ulama pejuang kemerdekaan tidak berkompromi sesuatu yang bertentangan dengan Islam. Ketegasan ini dipertahankan kerana keberadaan ulama bukan ditentukan oleh suara terbanyak. Bagaimanapun hal ini menjadi sebaliknya dalam kalangan pemimpin politik. Banyak perkasa asas seperti Islam, institusi Raja dan kedudukan orang Melayu pun boleh ditolak tarik demi kuasa.

Asas jiwa merdeka telah dibina sejak awal lagi oleh para ulama di Nusantara terutama Malaya. Mungkin ketika itu tidak ada istilah merdeka atau kemerdekaan. Bagaimanapun semua gagasan perjuangan membawa maksud yang sama membebaskan Malaya.

Tok Janggut berjuang menentang penjajah sejak 1909, sementara Haji Abdul Rahman Limbong pula pada 1919. Maknanya gagasan kemerdekaan sudah mula ditanam sejak awal abad ke 20. Oleh hal yang demikian kedudukan ulama sebagai pejuang tidak wajar terpinggir dalam sejarah kemerdekaan.

Sebagai bangsa yang diasuh tahu mengenang budi, kedudukan ulama perlulah diletakkan sebaris, kalau pun tidak lebih tinggi berbanding golongan politik. Skrip sejarah kemerdekaan perlu adil kepada pejuangnya. Ini termasuklah kepada ulama dan wartawan yang dilabelkan kiri dan dihukum oleh penjajah. Meriwayatkan semula kemerdekaan adalah tugas kita bersama.

****Ku Seman Ku Hussain adalah mantan editor akhbar yang sekarang menjadi wartawan bebas sepenuh masa.




............oo000oo........... 
PENAFIAN1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.


SUMBER : 1media.my



Live Website Traffic


loading...