EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Melawak buka jalan

0 month ago, 25-Mar-2020

MINAT Nornatasha Hamzah atau Natasha, 26, lebih terarah kepada nyanyian. Namun, melihatkan sukar untuk mencari ruang dalam nyanyian, anak bongsu daripada 10 adik-beradik ini memilih untuk menyertai program komedi Gegar Lawak 2018.

Abang saya beri cadangan untuk menyertai program ini. Walaupun kurang menyerlah apabila tersingkir di minggu ketiga, ia akhirnya menjadi platform untuk saya menyertai bidang seni.

Sebelum menyertai Gegar Lawak, saya sudah sertai uji bakat pelbagai pertandingan nyanyian antaranya Akademi Fantasia dan Mentor, tapi sering berdepan kegagalan yang berpunca daripada darah gemuruh.

Apabila dalam situasi ini, suara saya kurang bagus. Jadi saya diberi idea untuk masuk program Gegar Lawak sebagai cara membentuk keyakinan diri dengan buat sesuatu di luar kotak, katanya.

Adik pelawak Achey Bocey ini mengakui tidak mempunyai karakter komedi dalam dirinya, tetapi tetap mencuba nasib untuk menapak dalam bidang seni.

Pada asasnya saya tak suka melawak, tapi saya minat dengan stand up comedy. Tapi, ia bukan semudah yang disangka kerana ia ada undang-undang dan caranya yang tersendiri.

Dari situ, sedikit demi sedikit saya belajar apa yang sesuai untuk dipraktikkan dalam persembahan, katanya yang turut pernah menyertai program Miss Lawak 2019, tetapi tersingkir awal.

LAGU berkonsep balada rock kena dengan jiwa Natasha. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
LAGU berkonsep balada rock kena dengan jiwa Natasha. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Melihat sudah ada jalan yang terbentang, Natasha mencuba nasib pula dalam bidang lakonan dan ia berhasil apabila sudah membintangi drama Di Sisimu Aku terbitan A Aida Production dan Setiaku Di Sini serta Ustaz Evo the Movie terbitan Orangetree Production.

Alhamdulillah, perlahan-lahan saya diterima masuk. Impian untuk jadi penyanyi akhirnya tercapai apabila saya bertemu Zamzoy yang menawarkan untuk menghasilkan single pertama berjudul Rahasia.

Ia ciptaan Intan Shaharuddin dan lirik oleh Juhana Asri bersama Zamzoy. Lagu berkonsep balada rock ini kena dengan jiwa saya kerana saya penggemar lagu dendangan Shima dan Ara Johari.

Rahasia berkisarkan berkenaan kisah cinta pasangan atau suami isteri yang cuba mempertahankan hubungan mereka, katanya.

Menurutnya, muzik video lagu yang dihasilkan Papa Jup Production Sdn Bhd ini amat istimewa kerana memaparkan dirinya menggunakan bahasa isyarat.

Setakat ini kami hanya memuat naik video lirik yang berbeza daripada biasa. Penggunaan bahasa isyarat itu satu bonus kerana dapat dikongsi dengan golongan istimewa, katanya.

Menyentuh kelebihan mempunyai abang yang dikenali ramai, Natasha berkata, ia sedikit sebanyak menjadi tarikan untuk masyarakat mengenalinya.

Bergelar adik Achey memang satu kelebihan, tapi ia bukan jaminan untuk saya mudah diterima.

Kalau boleh saya nak dikenali sebagai diri sendiri dan dinilai menerusi bakat yang ada. Tapi, saya tak juga menidakkan saya dikenali dalam industri kerana nama abang, katanya.


SUMBER : hmetro.com.my

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...