EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Medina Safiya, Medina Sofiya cinta hati Syazwan

0 month ago, 26-Jun-2020

"PERASAAN bergelar ayah itu sangat istimewa dan saya tidak sabar menunggu kembar ini boleh bercakap dan mengucapkan hari bapa kepada saya," kata Syazwan Najmi Zulkarni yang kematian isteri akibat komplikasi selepas melahirkan bayi kembar perempuan mereka.

Syazwan Najmi, 23, berkata, tumbesaran puteri kembar, Medina Safiya dan Medina Sofiya semakin baik malah kedua-duanya agak montel walaupun dilahirkan pra matang pada hujung Mac lalu.

Menurutnya, kedua-duanya juga ada iras arwah isterinya, Siti Nur Nasuha Shafie, 23, yang sudah dua bulan meninggalkan mereka buat selama-lamanya.

"Pengorbanan arwah isteri menjadikan saya dapat bergelar seorang ayah dan saya tak akan sia-siakan setiap detik manis bersama si kembar kami," kata ketika ditemui di rumah keluarga mentuanya di Kampung Ketil di Tumpat, hari ini.

Harian Metro sebelum ini memaparkan kisah pilu menimpa ibu muda yang bertarung nyawa sebelum meninggal dunia pada 14 April lalu selepas bersalin akibat komplikasi dalaman.

Arwah yang melahirkan bayi kembar perempuan pada 31 Mac tidak sempat menatap kedua cahaya mata sulung kerana berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Syazwan Najmi berkata, sambutan Hari Bapa tiga hari lalu tetap diraikan tapi hanya untuk bapa serta bapa mentuanya saja.

"Saya ada membeli dua kek yang dihadiahkan kepada ayah dan bapa mentua sempena sambutan itu dan untuk saya tiada apa-apa kerana tiada siapa yang mengucapkannya (hari bapa).

"Tidak mengapa kerana ucapan tidak penting sebaliknya perasaan bergelar seorang ayah itu yang sangat istimewa," katanya.

Menurutnya, sejak dibenarkan membuat lawatan, ahli keluarga dan kenalan tidak putus menziarah si kembarnya dan rata-ratanya meluahkan simpati dengan nasib mereka yang membesar tanpa kehadiran ibu dan tak kurang yang 'mencuba nasib' ingin menjadikan mereka sebagai anak angkat.

"Buat masa sekarang kedua anak ini dalam jagaan keluarga saya dan mentua secara bergilir kerana rumah kami tidak jauh antara satu sama lain.

"Bagaimanapun mereka lebih kerap berada di rumah mentua kerana saya bekerja bersama mak dan ayah di sebuah kantin hospital di Tumpat namun jika terasa rindu saya boleh pulang menjenguk mereka bila-bila masa," katanya sambil memberitahu masih meneruskan rutin mingguan dengan menziarah pusara isterinya setiap pagi Jumaat.

Sementara itu, ibu mentuanya, Maharani Abdul Rahman, 43, menyifatkan kehadiran kembar perempuan itu satu anugerah yang tidak ternilai di sebalik kehilangan anak keduanya itu.

Dia yang memiliki lima anak dan semuanya perempuan tidak keberatan menjaga dua cucunya itu kerana boleh melepaskan rasa rindu terhadap arwah Siti Nur Nasuha.

"Pemergian (arwah) Nasuha agak memang mengejutkan tapi kami reda kerana itu adalah asbab kematiannya dan dia meninggalkan dua cahaya mata yang comel ini sebagai amanah untuk kami yang tidak akan disiakan," katanya.

Berita berkaitan

Kembar jadi penguat semangat [METROTV]

Rindu Syazwan kepada Nur Nasuha [METROTV]

Ibu meninggal tanpa sempat tatap wajah bayi kembar


SUMBER : hmetro.com.my

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...