www.edisiviral.com

Berita dan informasi edisi viral di Malaysia.


Masih memburu peluang

0 month ago, 17-Apr-2019


KEJAYAAN filem Ola Bola dan terbaru Paskal, bukan penentu nama seseorang pelakon itu meraih perhatian sewajarnya. Itu antara luahan pelakon dua filem itu, Taufiq Hanafi, 27, yang masih mencari ruang untuk dikenali dek bakat bukan sekadar rupa.

Boleh dikatakan semua pelakon Paskal masih berjuang mencari peluang untuk berlakon dalam produksi televisyen atau filem lain.

Kadang-kadang betul kata orang, filem box office tidak bermakna nama akan meletup, kata pelakon yang mula dikenali melalui watak Abu dalam filem Ola Bola, tiga tahun lalu.

Malah, lakonannya sebagai watak antagonis bernafsu songsang dalam Gantung The Series turut menjadi buah mulut peminat siri itu di Indonesia, namun tidak di negara sendiri.

Bukan tidak terkilan atau terasa hati tetapi sebab sudah banyak kali terkena sehinggakan saya sendiri sudah tiada perasaan. Kalau ada rezeki, adalah!, katanya ketawa.

Tanpa berselindung, dia menganggap kejayaan seseorang pelakon dalam sebuah filem besar belum tentu akan mendapat tawaran berterusan.

Enggan terus patah hati, dia yang pernah muncul memegang watak utama dalam filem usaha sama Malaysia-Vietnam berjudul Bidong: The Boat People dua tahun lalu, gembira menikmati impak diterima melalui Paskal pada masa ini.

Apatah lagi filem aksi ketenteraan itu mula menjadi sebutan di luar negara sebaik saja ia ditayangkan di saluran Netflix.

Ia memang beri impak besar malah di Asia pun, pihak pengurusan terkejut dengan sambutan diterima. Paskal boleh dianggap sebagai filem pertama dari Malaysia yang mendapat sambutan luar jangka dari luar negara.

Walaupun sudah ada filem tempatan ditayangkan di Netflix, tetapi Paskal sangat besar impaknya, katanya.

Selain mendapat jumlah tontonan tinggi, mereka juga mendapat pelbagai reaksi daripada peminat luar negara yang muat naik video tular berkaitan filem itu.

Duduk rumah kemas kini resume

Anak jati Pontian, Johor itu mengakui pada masa ini dia banyak menghabiskan masa di rumah mengemas kini resume selain melayan filem kegemaran.

Ada juga dua tiga tawaran filem yang datang tapi semuanya belum confirm. Lagi pun, sejak bergerak sendiri, memang agak struggle. Sesekali ada juga minta tolong kawan dalam industri yang sudah selesa bekerja dengan saya untuk mendapatkan kerja, katanya.

Katanya, kebanyakan syarikat produksi hanya mengenali nama watak dalam filem tetapi tidak peribadinya, sekali gus menyukarkan namanya disebut dalam kalangan penggiat seni.

Pun begitu, ia tidaklah bermakna keadaan kewangannya tidak stabil kerana apa yang diperlukan adalah konsistensi dalam tawaran berlakon.

Cuma pada masa ini, saya kena berjimat cermat sajalah. Biasalah, kerjaya pelakon bukan ada gaji bulan. Sambil itu saya juga mengajar dan beri motivasi serta membina keyakinan diri kepada pelajar, katanya.

Malah, dia juga membantu keluarganya mengurus perniagaan produk pelancongan di kampung halamannya di Pontian.

Mohon kerja di Warner Bros

Pelakon berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perfileman dan Televisyen turut mendedahkan baru saja memohon jawatan di syarikat produksi antarabangsa, Warner Bros. bulan lalu.

Mereka (Warner Bros) menghantar e-mel sudah menerima resume saya dan kini dalam proses penilaian. Sekarang baru sebulan dan mereka kata akan makan masa dalam dua bulan untuk mengetahui jawapan, katanya merahsiakan jawatan dipohon.

Katanya, sebagai penganggur, dia memohon apa saja jawatan yang berkaitan di portal pencarian kerja dalam dan luar negara.

Menurutnya, apa saja tawaran kerja yang bagus, dia akan terima dengan hati terbuka dan sehingga kini sudah ada beberapa penilaian secara atas talian sudah dilakukan.

Saya jenis tak segan dan akan hantar resume dan profil ke mana-mana saja. Sesi uji bakat pun saya cuba di laman sesawang.

Pernah juga diminta hadir ke sesi uji bakat di luar negara dan ada juga melalui panggilan video Skype, katanya.

Pada masa ini, dia dalam persediaan untuk masuk ke set penggambaran filem Gantung The Movie yang dijangka akan dimulakan selepas Aidilfitri. Selain itu, dia juga menanti beberapa rancangan majalah televisyen yang sudah menjalani penggambaran sebagai pengacara untuk siaran RTM.

TAUFIQ turut gembira menikmati impak diterima melalui Paskal.




SUMBER : hmetro.com.my


Tags

Travel New York London IKEA NORWAY DIY Ideas Baby Family News Clothing Shopping Sports Games

Popular Posts


Related Posts