www.edisiviral.com

Berita dan informasi edisi viral di Malaysia.


Malaysia tidak ketandusan pemain berkaliber

0 month ago, 07-Dec-2018


Holloway Cheah (kiri) bersama Ben Heng (kanan) bersama atlet boling negara sewaktu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur setelah pulang dari Kejohanan Boling Lelaki Dunia di Hong Kong semalam. Skuad boling negara berjaya merangkul tiga pingat emas pada acara perseorangan yang dimenangi oleh Rafiq Ismail (tengah) manakala Tun Hakim (dua, kiri) serta Adrian Ang (dua, kanan) berjaya merangkul emas pada acara regu. — foto Bernama

SKUAD elit negara tidak akan ketandusan pemain berkaliber pada masa depan kerana mempunyai kelompok pemain yang sedang meningkat naik, kata jurulatih skuad kebangsaan, Ben Heng.

“Sememangnya kita amat memerlukan pemain baharu dalam pasukan kita. Selain (Muhammad) Rafiq, kita kini ada Tun Ameerul (Hakim) seorang pemain muda dalam pasukan elit.

“Dari segi kemahiran, kita tidak menghadapi masalah, bagaimanapun kita tidak dapat menyaingi pemain dari negara luar khususnya dari Eropah dan Amerika Syarikat kerana mereka kerap bermain dalam pelbagai liga atau siri jelajah untuk memantapkan mutu permainan masing-masing,” kata Ben, seorang bekas pemain kebangsaan dan kini sudah 11 tahun membimbing skuad kebangsaan bersama ketua jurulatih, Holloway Cheah.

Beliau ditemui pemberita sejurus tiba daripada menyertai Kejohanan Boling Lelaki Dunia 2018 di Hong Kong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama-sama skuad boling elit lelaki negara, di sini malam ini.

Menurut Ben, sebelum kejohanan dunia itu, pemain banyak menimba pengalaman dalam kejohanan Pro Tour di Amerika Syarikat dan dari situ mereka berjaya memperbaiki permainan masing-masing.

Beliau berharap pendedahan seperti itu dapat diteruskan lagi tahun hadapan dengan mendapat kelulusan dan peruntukan yang sewajarnya.

Sementara itu, pemenang pingat emas perseorangan dunia berkenaan, Muhammad Rafiq Ismail berkata beliau amat gembira kerana berjaya bermain dengan baik walaupun berdepan saingan sengit.

“Namun, walaupun menang pingat emas acara perseorangan, saya tidak berjaya melayakkan diri untuk acara Masters. Semua pemain berhadapan kesukaran dan cabaran bermain dengan kondisi lorong yang mencabar,” katanya.

Kemenangan itu menyaksikan Muhammad Rafiq muncul pemain tenpin boling pertama negara memenangi acara perseorangan dalam kejohanan itu sejak 1979.

Atlet berusia 21 tahun itu yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Asia 2018, menewaskan Dan MacLelland dari Kanada 217-204 pada aksi final.

“Saya bersyukur kerana dapat mencipta kemenangan dalam bulan-bulan terakhir untuk tahun ini selepas gagal mencipta kejayaan cemerlang pada awal tahun ini. Selepas pingat emas Sukan Asia, dan kali ini di Kejohanan Dunia,” katanya.

Pencapaian Muhammad Rafiq itu kemudian disusuli dengan kejayaan gandingan Adrian Ang-Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam meraih pingat emas dalam acara beregu.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas pada Kejohanan Boling Lelaki Dunia ialah pada 1979 menerusi acara trio diwakili Allan Hooi, Edward Lim dan J.B. Koo. – Bernama

‘Malaysia tidak ketandusan pemain berkaliber’ Sukan Sinar.


SUMBER : sukansinar.com


Tags

Travel New York London IKEA NORWAY DIY Ideas Baby Family News Clothing Shopping Sports Games

Popular Posts


Related Posts