EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Makan malam terakhir sebelum tiga beranak maut

0 month ago, 19-Sep-2023

Seorang aktivis Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani tidak menyangka kebakaran rumah kedai di Jalan Sungai Emas, Pekan Kota Kuala Muda, dekat sini awal pagi semalam turut meragut nyawa ibu saudara dan sepupunya sendiri.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, tiga sekeluarga ditemui maut oleh pasukan bomba di dalam premis perniagaan mereka.

Tiga mangsa itu ialah Yong Swee Lan, 92, anak perempuannya, Lee Chew Fong, 61, serta menantunya, Lim Yang Kooi, 66.

Selain premis itu, terdapat tujuh lagi unit rumah kedai yang terbakar antaranya kedai runcit, kedai perabot, kedai serbaneka, kedai membaiki perkakas elektrik dan kedai jahit.

Aktivis PBS Sungai Petani, Linda Yee, 48, berkata, dia tidak sedap hati sebaik sahaja mengetahui lokasi kebakaran itu kerana terdapat ahli keluarganya yang berniaga di situ.

Katanya, ketiga-tiga mangsa sebenarnya menetap di Taman Bertam, Pulau Pinang selepas membeli rumah di sana sejak setahun lalu dan hanya pulang ke premis itu untuk berniaga pakaian dan kelengkapan lain pada waktu siang.

Bagaimanapun, semalam mereka ambil keputusan untuk bermalam di premis itu disebabkan mahu mengelak daripada masalah letak kereta kerana terdapat pasar pagi di jalan berdekatan lokasi kejadian hari ini (semalam), katanya semalam.

Menurutnya, sebelum keluar rumah, semua mangsa dikatakan sempat menikmati hidangan makan malam bersama anak-anak dan tidak menyangka ia adalah makan malam terakhir mereka.

Tak sangka waktu makan malam sebelum kejadian, mereka semua gembira, namun tiba-tiba kebakaran ini berlaku dan mereka kini sudah tiada, ujarnya.

Katanya, rumah kedai yang berusia lebih 100 tahun itu merupakan kedai warisan mendiang datuknya dari generasi ke generasi.

Ibu saudara saya (Swee Lan) adalah generasi kedua dan kedai itu sebelum ini diuruskan oleh anak perempuan dan suaminya sebagai generasi ketiga, jelasnya.

Swee Lan

Sementara itu, seorang pemilik kedai, Azizah Jaafar, 70, tidak dapat menahan sebak apabila melihat rumah kedai peninggalan arwah suaminya musnah.

Menurut Azizah, rumah kedai itu dibeli oleh arwah suaminya kira-kira 20 tahun lalu dan disewakan kepada peniaga kedai perabot dengan sewa RM400 sebulan.

Saya sebak apabila melihat harta peninggalan suami yang selama ini menjadi sumber pendapatan bulanan saya kini telah musnah dijilat api, tetapi apa boleh buat benda sudah berlaku, ujarnya.

Seorang peniaga, Ng Lin Hoe, 70, berkata, ketika kejadian dia bersama suaminya, Leong Kam Hong, 74, serta dua cucu berusia 9 dan 12 tahun berada di dalam rumah kedai tersebut.

Ketika itu, saya dan dua cucu sedang nyenyak tidur sebelum terdengar suara suami menjerit menyuruh kami bertiga bangun.

Suami beritahu deretan rumah kedai terbakar dan meminta kami bergegas keluar menyelamatkan diri, katanya.

Lin Hoe yang menjalankan perniagaan membaiki perkakas elektrik berkata, dia dan suami hanya sempat menyelamatkan buku-buku sekolah cucunya serta beberapa dokumen penting.

Sebaik sahaja keluar, saya lihat api sedang marak di empat buah rumah kedai sebelum merebak ke rumah kedai saya dan yang lain-lain, ujarnya.

Anggota bomba memadam kebakaran lapan unit rumah kedai.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata, tiga sekeluarga itu dipercayai cuba menyelamatkan diri dengan keluar dari pintu utama, namun gagal.

Dalam kejadian itu, mayat pertama ditemui di ruang tamu pada pukul 3.19 pagi semalam, diikuti mangsa kedua pada jarak kira-kira dua meter pada pukul 6 pagi.

Kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan rentung.

Mayat ketiga pula ditemui di bawah ruangan tangga iaitu kira-kira enam meter dari jarak penemuan mayat kedua pada pukul 10.15 pagi semalam dalam keadaan tidak rentung kerana tertimbus dengan sisa runtuhan.

Operasi memadam turut dibantu anggota bomba sukarela dengan kemusnahan hampir 80 peratus setiap rumah.

Kebakaran dipercayai bermula dari premis menjual pakaian sekolah yang menjadi lokasi tiga mangsa ditemui sebelum merebak ke premis lain. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, katanya.




SUMBER : mulutviral.com