EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

MAIPk PERUNTUK RM2 JUTA SETAHUN BANTU ASNAF JADI USAHAWAN

0 month ago, 15-Sep-2023

Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Rohizan Omar (tengah) menyampaikan sijil kepada peserta Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf, Hazalinawati Ngah Zahari (kanan) pada majlis penyampaian kit permulaan perniagaan spa dan kecantikan, semalam. – Bernama

IPOH: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) memperuntukkan hingga RM2 juta setahun menerusi Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (Proper A) bagi membantu golongan asnaf keluar daripada kepompong kemiskinan dengan menceburi bidang keusahawanan.

Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk Rohizan Omar berkata seramai 1,667 asnaf menyertai program tersebut sejak ia dilaksanakan pada 2016 hingga kini.

“Daripada jumlah tersebut, kira-kira 90 peratus golongan asnaf yang terlibat dengan Proper A ini berjaya keluar daripada kemiskinan dan sudah mula membayar zakat.

“Ada antara mereka juga yang menjadi penyedia latihan dengan memberi latihan kepada asnaf lain dalam bidang keusahawanan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian kit permulaan perniagaan spa dan kecantikan kepada 20 peserta Proper A di bawah seliaan DAlam Spa di sini.

Rohizan berkata setiap tahun seramai 200 hingga 300 asnaf terpilih perlu menjalani latihan selama enam bulan mengikut bidang tertentu seperti spa dan kecantikan, kulinari dan pastri, urutan dan refleksologi, tanaman cendawan tiram, penternakan ayam kampung dan pembuatan pusara.

“Apabila tamat latihan, peserta akan dipantau selama enam bulan oleh penyedia latihan yang dilantik oleh MAIPk,” katanya.

Menurut beliau setiap peserta akan diberikan modal perniagaan sebanyak RM10,000 meliputi kos latihan dan pemberian peralatan mengikut bidang latihan yang disertai.

Sementara itu, penyedia latihan yang merupakan Pengurus D Alam Spa Rosdziah Mohd Zainudin berkata tahun ini seramai 20 orang terpilih menyertai latihan spa kecantikan dan perbidanan selama enam bulan.

“Setiap peserta diberikan ilmu amalan berpantang seperti mengendalikan ibu selepas bersalin, urutan memperbanyakkan susu ibu, urutan selepas bersalin secara normal atau pembedahan, bertungku dan bertangas serta pengendalian bayi.

“Mereka juga dibekalkan dengan peralatan khusus untuk berpantang, jadi peserta tak perlu keluar modal dan boleh memulakan perniagaan selepas tamat latihan,” katanya.

Seorang peserta Norshahrina Ahmad Khairi,  39, dari Tronoh, Seri Iskandar berkata beliau yang mempunyai 20 tahun pengalaman dalam bidang urutan berpantang akan menggunakan sebaiknya ilmu yang dipelajari sepanjang program itu.

“Saya menjalankan perniagaan urutan berpantang secara sendirian sebelum ini dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.

“Apabila menyertai Proper A ini, barulah saya tahu bagaimana untuk memperbaiki lagi kaedah urutan dan mempelajari mengenai strategi pemasaran,” katanya yang menyasarkan pendapatan hingga RM5,000 sebulan selepas ini.

Seorang lagi peserta, Farziana Mustapa Kamal, 38, dari Station 18 di sini berkata beliau mahu mengubah nasib keluarganya yang kini hanya bergantung harap pada suami yang bekerja sebagai buruh kampung.

“Dengan empat orang anak yang bersekolah, saya inginmembantu suami menambah pendapatan bagi menyara anak-anak,” katanya. — AlHijrah Online




SUMBER : alhijrahnews.com