EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Luluh hati hanya mampu melihat adik terbakar Abang Allahyarham Azizi

0 month ago, 21-Nov-2021

Kuala Terengganu: “Luluh hati saya apabila hanya mampu melihat kereta adik terbakar tetapi gagal menyelamatkannya memandangkan api sangat marak,” kata Mohd Jasmani Jaafar, 50.

Mohd Jasmani adalah abang kepada Mohd Azizi, 37, yang ditemui rentung selepas kereta dipandunya terbakar di Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhampiran Kampung Wakaf Beruas di sini semalam.

Bukan itu sahaja, Mohd Jasmani sekali lagi diuji apabila bapa mereka, Jaafar Abdullah, 76, turut menghembuskan nafas terakhir di rumah mereka di Kampung Wakaf Mempelam di sini, pada 5.30 pagi hari ini.

Menceritakan semula kejadian, Mohd Jasmani berkata, dia bersama arwah adiknya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu kira-kira 2 petang semalam untuk membawa bapa mereka pulang.

Menurutnya, mereka kemudian dalam perjalanan pulang ke rumah dengan dia menaiki ambulans bersama Jaafar, manakala arwah Mohd Azizi mengekori daripada belakang dengan memandu Perodua Alza.

“Adik suruh saya naik ambulans dengan ayah dan dia pula akan ikut dari belakang sambil bawa tong gas oksigen. Namun ketika dalam perjalanan, saya nampak kereta adik terbakar sebelum dia memberhentikan kereta di tepi jalan.

“Melihat keadaan itu, saya meminta pemandu memberhentikan ambulans dan segera ke arahnya untuk selamatkan adik tetapi orang ramai yang berada di tempat kejadian memegang saya dan meminta saya bersabar.

“Ketika itu, saya nampak adik cuba keluar daripada tingkap namun gagal dan memang sebak lihat keadaannya yang cuba menyelamatkan dirinya,” kata anak sulung daripada tujuh beradik.

Tambah Mohd Jasmani, arwah bapanya juga pergi menghadap Ilahi tanpa mengetahui adiknya terkorban dalam kebakaran itu.

“Arwah ayah memang tidak tahu adik sudah tiada kerana keadaannya juga memang lemah dan kami sendiri juga tidak tergamak memaklumkan kejadian menimpa adik,” katanya.

Sementara itu, ibu Mohd Azizi, Zabidah Dagang, 67, berkata, dia reda dengan pemergian dua insan tersayang dalam tempoh tidak sampai 12 jam.

“Memang terkejut apabila dapat tahu anak (Mohd Azizi) meninggal dunia semalam dan pagi tadi, suami pula pergi.

“Sedih memang sedih tetapi saya reda dengan pemergian mereka,” katanya.

Jenazah dua beranak itu selamat dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Baru Kampung Wakaf Mempelam di sini kira-kira 1.30 petang tadi.

Luluh hati hanya mampu melihat adik terbakar Abang Allahyarham Azizi first appeared on Wowberita.


SUMBER : wowberita.my



Live Website Traffic


loading...