EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Lebih selesa dengan fesyen abad ke-19

0 month ago, 22-Nov-2020

Kiev: Tidak seperti kebanyakan wanita yang sentiasa mengikuti trend semasa, Mila Povoroznyuk pula obses memakai pakaian abad ke-19 dalam rutin hariannya.

Sejak beberapa tahun lalu, wanita muda dari bandar VInnitsa, Ukraine itu memenuhkan almarinya dengan pakaian vintaj termasuk gaun labuh, korset, topi serta kasut dari era Victoria.

Menurut Mila, walaupun bersiap setiap pagi lebih menyusahkan berbanding biasa, namun dia rasa berbaloi dengan gaya vintaj berkenaan yang membuatkannya lebih selesa.

"Mula-mula saya hanya memakai blaus vintaj sebelum skirt dan lama-kelamaan pakaian dan perhiasan vintaj semakin memenuhi almari saya.

"Saya perasan saya semakin memilih pakaian vintaj ini setiap hari berbanding pakaian biasa saya.

"Ini kerana saya rasa lebih selesa, berkeyakinan dan sekarang saya mengamalkan memakai pakaian ini setiap hari," katanya kepada akhbar Rusia, Komsomolskaya Pravda seperti dipetik portal Oddity Central.

Katanya, dia mendapatkan blaus dan kasut di kedai barangan terpakai sebelum memberi nafas baharu dengan menjahitnya sendiri menerusi panduan buku lama.

Bagi aksesori pula, dia mendapatkannya daripada koleksi peribadi peminat vintaj sepertinya dan membelinya di pasar lambak.

Dia juga membuat tutorial menjahit dan berkongsi foto almari pakaian vintajnya dalam talian hingga mengagumkan pengikutnya di Instagram.

Sehingga kini, dia memiliki lebih 100 barangan vintaj kebanyakannya diilhamkan daripada fesyen akhir abad ke-18 hingga awal abad ke-19.

Wanita itu mula meminati fesyen ala vintaj sejak 12 tahun lalu ketika menyertai sebuah kelab rekonstruksi bersejarah dianggotai peminat pejuang pertempuran abad pertengahan.

Ia sekali gus memberikannya peluang belajar menjahit kostum untuk pelbagai festival menerusi panduan bahan ukiran dan lukisan lama.



SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic


loading...