www.edisiviral.com

Berita dan informasi edisi viral di Malaysia.


Laungan Hidup BN Bergema Iringi Calon BN Pertahankan Kerusi Cameron Highlands

0 month ago, 12-Jan-2019


TANAH RATA, 12 Jan Barisan Nasional (BN) tekad mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan bermulanya proses penamaan calon hari ini.

Kira-kira hampir tiga ribu penyokong dan jentera BN mula memenuhi Padang Awam Majlis Daerah Cameron Highlands di sini seawal jam 8 pagi.

Laungan Hidup BN’ mengiringi perarakan calon ke pusat penamaan, Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah yang terletak bersebelahan dengan padang awam tersebut bagi memberikan sokongan penuh kepada calon parti.

Sebelum perarakan, dimulai dengan bacaan doa memohon agar segala urusan dipermudahkan serta diberi kejayaan kepada BN mempertahankan kerusi tersebut.

BN menampilkan calon langsungnya bukan atas keahlian mana-mana parti komponen, Ramli Mohd Nor, 61, untuk menentang calon kitar semula Pakatan Harapan (PH) dari Dap, M.Manogaran dan dijangka beberapa calon lain.

Ramli, bekas Penolong Pesuruhjaya Polis adalah anak tempatan dari masyarakat pribumi suku Semai, di mana kaum Orang Asli mewakili 22 peratus pengundi di sini.

Ramli diiringi beberapa pemimpin tertinggi parti seperti Timbalan Pengerusi parti, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib-naib Presiden UMNO, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ketua-ketua Sayap Pergerakan dan kepimpinan tertinggi parti komponen menuju ke pusat penamaan calon jam 9 pagi tadi.

Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah turut digunakan sebagai tempat penjumlahan rasmi undi.

Turut hadir sama mengiringi perarakan ialah pemimpin Pas seperti Naib Presidennya, Datuk Iskandar Abdul Samad, Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan serta pemimpin-pemimpin negeri dan kawasan bagi menyatakan komitmen mereka menyokong dan membantu kempen untuk calon BN.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Datuk C.Sivarraajh menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands yang membabitkan saingan lima penjuru namun pada 30 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangannya adalah terbatal.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikemaskini sehingga 14 Disember 2018, seramai 32,009 pengundi berdaftar layak mengundi pada PRK ini.

SPR menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari, bermula pada hari ini manakala hari mengundi ditetapkan pada 26 Januari depan. MediaUMNO




SUMBER : umno-online.my


Tags

Travel New York London IKEA NORWAY DIY Ideas Baby Family News Clothing Shopping Sports Games

Popular Posts


Related Posts