EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

MSL 2020: JDT Lanyak Selangor Sepuasnya, Kini Hampiri Kejuaraan Liga

1 month ago, 19-Sep-2020

Johor Darul Tazim (JDT) kini semakin hampir dengan satu lagi mahkota kejuraan CIMB Liga Super (MSL 2020) apabila membelasah Selangor dengan jaringan 6-1.

Kedudukan itu jelas sekali tidak menceritakan perkara sebenar apabila di separuh masa pertama, kedua-dua pasukan beraksi seimbang walaupun JDT mempunyai beberapa peluang untuk menguji Farizal Harun.

Taylor Regan dan Safuwan Baharuddin antara pemain Selangor yang beraksi cukup baik dalam memastikan pergerakan pasukan tidak runtuh dilanggar oleh gerakan JDT yang berbahaya.

Namun menuju ke masa kecederaan, segala usaha keras itu musnah apabila JDT berjaya juga mendahului menerusi jaringan Safawi Rasid menerusi sepakan percuma.

Kesilapan posisi penjaga gol oleh Farizal yang memberikan ruang besar untuk Safawi dengan mudah merembat bola ke dalam gol untuk meruntuhkan moral Selangor betul-betul sebelum masuk ke bilik persalinan.

Moral pasukan Selangor terus roboh diawal separuh masa kedua selepas Nichola Swirad menjatuhkan pemain JDT dihadapan kotak penalti lalu pengadil memberikan sepakan penalti kepada tuan rumah.

Walaupun ulang tayang menunjukkan ianya seperti berlaku di luar kotak penalti, tetapi pengadil tetap memberikan sepakan penalti kepada tuan rumah.

Safawi, dengan mudah menjaringkan gol kedua pasukan dan peribadi beliau.

Diogo Santo muncul dengan jaringan ketiga untuk JDT apabila rembatan kaki kiri dari sudut sukar dengan mudah menewaskan Farizal.

Tidak lama kemudian, muncul Gonzalo Cabrera untuk menambah derita Selangor apabila dengan mudah menolak bola dihadapan Farizal.

Pemain muda yang kini terus menjadi sebutan, Ramadhan Saifullah yang masuk sebagai pemain gantian turut menjaringkan gol. Beliau dengan mudah menggunakan kesilapan Farizal yang menepis bola ke kawasan bahaya untuk menjaringkan gol kelima JDT.

Ramadhan kemudiannya menjaringkan gol cantik apabila rembatan lencong beliau dari sebelah kiri kotak penalti menewaskan Farizal dengan mudah.

Rufino Segovia yang masuk sebagai pemain gantian berjaya mendapatkan gol saguhati untuk Selangor, namun ianya jauh sekali sudah terlambat untuk mereka memberikan apa-apa sinar kepada penyokong mereka.

Syamer Kutty Abba pula dibuang padang dipenghujung perlawanan selepas beliau mengutip kad kuning kedua.

Secara keseluruhannya, Selangor jelas sekali tumpul lagi rapuh diseparuh masa kedua, mereka gagal untuk mengulangi prestasi mereka di separuh masa pertama apabila berjaya memberikan saingan kepada JDT.

Jelas sekali, apa yang dilakukan JDT adalah sebuah prestasi yang cukup profesional daripada mereka. Namun tanda soal perlu diberikan kepada Selangor.

Keputusan kekalahan yang amat memalukan ini jelas sekali akan membangkitkan kemarahan penyokong Selangor, dan tidak terkejut tekanan penyokong untuk B. Satiananthan meletakkan jawatan akan memuncak selepas ini.

Keputusan penuh, JDT 6-1 Selangor.

Kesebelasan utama

JDT: Farizal Marlias (penjaga gol), Aidil Zafuan (ketua pasukan), Diogo Santo, Gonzalo Cabrera, S. Kunanlan, Leandro Velazquez, Nazmi Faiz, Lavere Corbin Ong, Fadhli Shas, Safawi Rasid, Natxo Insa

Selangor: Farizal Harun (penjaga gol), Nicholas Swirad, Taylor Regan (ketua pasukan), Ashmawi Yakin, Khyril Muhymeen, Halim Saari, Wan Zack Haikal, Ifedayo Olesegun, Syahmi Safari, Sandro Da Silva, Safuwan Baharuddin

Pegawai perlawanan

Pengadil: Zulkarnain Zakaria
Pembantu pengadil 1: Nojey Naking
Pembantu pengadil 2: Busrah Eri
Pengadil ke-4: Sarif Tahir


SUMBER : semuanyabola.com

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...