EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Kuota Perkhidmatan Awam: PH Tak Ikut Perlembagaan

0 month ago, 04-Nov-2019

Jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin ke atas pertanyaan Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Anak Muyang @ Tambat semasa menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 pada Selasa 29 Oktober lalu adalah amat mengejutkan kerana bercanggah dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hanipa menyatakan antaranya :

(i) Dasar pengambilan dan pelantikan ke perkhidmatan awam am Persekutuan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam adalah berasaskan merit dan kompetensi seseorang calon.

(ii) Tiada penempatan sebarang kuota untuk sesuatu agama, kaum, etnik atau negeri tertentu dalam pelantikan anggota perkhidmatan awam.

(iii) Semua warganegara Malaysia mempunyai peluang yang sama untuk dipertimbangkan dalam persaingan yang terbuka dan adil iaitu open and fair competition.

Jawapan Hanipa ini jelas bercanggah dengan Perkara 153 (2) Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa-apa cara yang perlu untuk memastikan perizaban (kuota) bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam.

Apa jaminan bilangan orang Melayu, anak Negeri Sabah dan anak Negeri Sarawak tidak terhakis dengan teruk dalam perkhidmatan awam selepas ini bila tiada sebarang kuota ditetapkan kepada mereka sedangkan Perlembagaan Persekutuan sendiri menegaskan bahawa kuota ini hendaklah dipastikan?

Oleh itu, saya merafak sembah memohon kepada Yang di-Pertuan Agong supaya menunaikan tanggungjawab yang diperuntukkan di bawah Perkara 153 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk memberikan arahan am bagi memastikan kuota bagi orang Melayu, anak Negeri Sabah dan anak Negeri Sarawak ditetapkan.

Jawapan Hanipa ini menggambarkan kenaifan Hanipa sendiri selaku Timbalan Menteri berkaitan Hal Ehwal Undang-Undang dan ketiadaan iltizam Pakatan Harapan untuk mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

Sekian.

Islam Memimpin Perpaduan

DATO DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus




Live Website Traffic


loading...