EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

KUMPULAN PERTAMA JEMAAH UMRAH MALAYSIA BERLEPAS

0 month ago, 13-Oct-2021

SEPANG: Kumpulan pertama jemaah umrah dari Malaysia berlepas hari ini selepas kerajaan membenarkan rakyat Malaysia ke luar negara dan kebenaran menjalankan ibadah umrah oleh Arab Saudi.

Seramai 11 orang jemaah dalam kumpulan pertama tersebut yang mengikuti pakej umrah melalui Emraz Travel and Tour.

Ketua Pegawai Eksekutif Emraz Travel and Tours Dr Zulkarnain Endut berkata persediaan awal telah dilakukan terutamanya berkaitan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan ibadah umrah.

Kita sentiasa kemas kini maklumat daripada Arab Saudi melibatkan SOP dan pelaksanaan ibadah umrah. Selain itu perancangan kita juga sentiasa berpandukan SOP di Malaysia, katanya.

Dr Zulkarnain berkata pihaknya membuat keputusan untuk menerbangkan jemaah pada penerbangan terawal ini berikutan permintaan tinggi oleh jemaah-jemaah yang tidak dapat meneruskan perjalanan umrah mereka sejak penularan COVID-19 Mac tahun lalu.

Cabaran utama dalam pengurusan jemaah kali ini katanya adalah dalam memastikan pematuhan SOP setiap jemaah terutama memenuhi syarat-syarat ditetapkan Arab Saudi seperti lengkap divaksin.

Sementara itu Norfazila Abdul Rahim, salah seorang jemaah kumpulan pertama itu yang ditemui Berita AlHijrah menzahirkan rasa syukur atas kebenaran ibadah umrah oleh pihak berkuasa.

Alhamdulillah syukur sangat-sangat kerana terpilih menjadi antara yang terawal dapat menunaikan umrah selepas dibenarkan kerajaan, katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad lalu mengumumkan rakyat Malaysia boleh ke luar negara tanpa perlu membuat permohonan My TravelPass Jabatan Imigresen.

Bagaimanapun arahan kuarantin wajib apabila pulang ke tanah air masih kekal.

Sebelum ini, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan hanya individu yang sudah lengkap divaksin yang diluluskan negara itu, dibenarkan menunaikan umrah dan melawat Masjidilharam dan Masjid Nabawi, berkuat kuasa 10 Oktober lalu. AlHijrah Online



SUMBER : alhijrahnews.com



Live Website Traffic


loading...