EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

47 kilang di Pulau Pinang ditutup sementara sejak Januari hingga Mac

0 month ago, 03-Apr-2021

 


Sejumlah 47 kilang di Pulau Pinang diarahkan tutup buat sementara waktu dalam tiga bulan pertama tahun ini kerana COVID-19.


Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata peningkatan kes COVID-19 dalam industri pembuatan di Pulau Pinang membimbangkan sehingga dirasakan timbul keperluan untuk menjadikan inisiatif Safe@Work Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai mandatori di tempat kerja.  


Memandangkan hampir 50 kilang ditutup sementara antara Januari hingga Mac tahun ini kerana COVID-19, kami berharap prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan di bawah program sukarela Safe@Work dijadikan mandatori dan diamalkan sepenuhnya di semua tempat kerja, kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi Penang Smart Parking versi 2.0.3 hari ini.


Inisiatif Safe@Work MITI adalah satu set SOP yang boleh dilaksanakan syarikat di dalam sektor pembuatan, meliputi tanggungjawab majikan untuk menyediakan tempat tinggal yang selamat untuk pekerja dan mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) 


Program sukarela itu menggariskan tanggungjawab berkaitan pengurusan pekerja yang positif COVID-19, kontak rapat, saringan kesihatan selain langkah-langkah untuk menghindari jangkitan dalam kalangan pekerja dengan memperkenalkan protokol Gelembung Kerja Selamat.


Chow berkata konsep Gelembung Kerja Selamat dilihat mampu membantu mengawal jangkitan COVID-19 di parameter tertentu dengan mengatur pekerja di sesebuah kilang dalam beberapa kumpulan. 



Pekerja-pekerja di dalam sebuah kumpulan akan tinggal bersama dalam bangunan kuarters tertentu dan pergi serta balik kerja di dalam pengangkutan yang sama, akan membantu mengawal jangkitan COVID-19 dalam satu tahap yang lebih mudah diuruskan, kata beliau.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Jagdeep Singh Deo berkata kedua-dua pihak berkuasa tempatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai telah mengarahkan penutupan sementara kira-kira 1,600 premis terdiri daripada kilang, restoran, medan selera, pasar dan lain-lain, sejak Perintah  Kawalan Pergerakan di seluruh negara bermula


Beliau berkata setakat ini, kedua-dua pihak berkuasa tempatan juga telah mengadakan pemeriksaan SOP di 1.6 juta premis di seluruh negeri.


BERNAMA



SUMBER : penangkini.com



Live Website Traffic


loading...