EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Ketetapan Amerika Syarikat Terhadap Palestin : Permulaan Ke Arah Penaklukan Tebing Barat

0 month ago, 25-Nov-2019


oleh: YB Ustaz Muhammad Khalil

Beberapa hari lepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo mengumumkan bahawa Amerika Syarikat mengubah polisinya berkaitan status pendudukan serta penempatan haram Zionist Israel di Tebing Barat, Palestin dengan menyatakan bahawa ia tidak menyalahi undang undang antarabangsa. Pengumuman tersebut mengejutkan banyak pihak serta menimbulkan kemarahan majoriti dunia dan umat Islam apatah lagi rakyat Palestin yang sememangnya mengecam tindakan tersebut.

Mike Pompeo menegaskan bahawa Amerika Syarikat tidak lagi akan menggunapakai polisi Jabatan Negara Amerika Syarikat tahun 1978 yang menyatakan bahawa pendudukan serta penempatan haram Zionist Israel di Tebing Barat adalah tidak konsisten dengan undang undang antarabangsa. Tindakan Zionist Israel juga jelas bertentangan dengan Artikel 49, Konvensyen Geneva ke Empat yang menyatakan bahawa pihak penjajah tidak boleh memindahkan penduduk awamnya atau mendiami wilayah yang diduduki atau dijajah.

Malah ia juga bertentangan dengan Resolusi 2334 Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu 2016 yang dengan jelas menyatakan bahawa pendudukan serta penempatan haram Zionist Israel di Palestin sejak 1967 termasuk Timur Baitulmuqaddis adalah menyalahi undang undang antarabangsa dan tidak sah. Dengan Amerika Syarikat mengubah polisi tersebut, ia seperi membenarkan pencerobohan Zionist Israel di Tebing Barat, merobohkan rumah penduduk Palestin, merampas tanah dan menghalau warga Palestin serta membina penempatan haram untuk warga Zionist Israel.

Tindakan Amerika Syarikat yang dipercayai didalangi Zionist Israel adalah dirasakan untuk membalas tindakan Jordan yang mengambil kembali wilayah Al Baqoura dan Al Ghumar daripada Zionist Israel baru baru ini setelah menyerahkannya kepada Zionist Israel pada tahun 1994 ketika menandatangani perjanjian damai akibat berlakunya pertelagahan sempadan. Tindakan Jordan mengambil kembali kedua dua wilayah tersebut adalah kerana sentimen anti Israel yang semakin meningkat dikalangan rakyat Jordan, begitu juga ketegangan yang semakin meruncing diantara Jordan dan Zionist Israel.

Sejurus dengan pendirian terbaru Amerika Syarikat ini, Benjamin Netanyahu dengan segera mengeluarkan kenyataan menegaskan bahawa ia adalah satu tindakan tepat yang membetulkan kesilapan polisi Amerika Syarikat yang lalu. Keadaan menjadi bertambah parah buat rakyat Palestin di Tebing Barat kerana selepas pengumuman tersebut, kenderaan berat milik Zionist Israel yang dikawal tentera mula memasuki Tebing Barat dan merobohkan rumah rakyat Palestin. Rakyat Palestin yang sememangnya mengharungi kehidupan sukar bertambah sengsara lagi hidup mereka.

Tindakan berani Amerika Syarikat itu juga adalah dipercayai akibat daripada proses normalisasi beberapa negara Asia Barat yang mengadakan hubungan langsung dengan Zionist Israel di mana ia berjaya mengekang negara negara tersebut daripada mengutuk mahupun menyekat tindakan Zionist Israel terhadap Palestin dan rakyatnya. Hubungan normalisasi tersebut seolah olah memberi lesen mahupun berbuat tidak nampak perlakuan keji dan kekejaman Zionist Israel terhadap Palestin dan rakyatnya.

Tindakan tersebut adalah lanjutan daripada beberapa tindakan dan polisi Amerika Syarikat era Donald Trump yang dilihat memihak kepada Zionist Israel seperti pengumuman Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, pemindahan Kedutaan Amerika Syarikat ke Baitulmuqaddis dan pemotongan peruntukan UNWRA untuk pelarian Palestin. Donald Trump yang semenangnya penyokong kuat Benjamin Netanyahu disamping Jared Kushner, Penasihat Rumah Putih yang juga menantunya adalah arkitek pelan damai Asia Barat yang ternyata memihak kepada Zionist Israel serta menindas Palestin dan rakyatnya.

Penaklukan Israel Ke atas Tebing Barat

Tebing Barat asalnya adalah sebahagian daripada wilayah Jordan sebelum ditawan Zionist Israel pada 1967 ketika Perang Arab Israel. Semenjak penaklukan tersebut, Zionist Israel terus membina penempatan untuk penduduk haram Yahudi di Tebing Barat dan mula menghalau keluar penduduk Palestin, meroboh mahupun merampas kediaman mereka. Rakyat Palestin bangkit menentang Zionist Israel, menyaksikan banyak berlaku pertumpahan darah yang mengorbankan puluhan ribu nyawa rakyat Palestin termasuk jutaan yang meninggalkan tanah air mereka.

Namun pada tahun 1993, Palestine Liberation Organization ( PLO ) dan Kerajaan penjajah Zionist Israel menandatangani perjanjian Oslo Accord 1 di Washington D.C., Amerika Syarikat. PLO di wakili Pengerusinya Yasser Arafat dan Zionist Israel oleh Perdana Menterinya Yitzhak Rabin menandatangani perjanjian tersebut dengan disaksikan oleh Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Bill Clinton dan Andrei Kozyrev, Menteri Luar Russia. Perjanjian damai tersebut meredakan seketika pertempuran diantara rakyat Palestin dan Zionist Israel.

Perjanjian Oslo Accord 1 adalah perjanjian pengunduran tentera Zionist Israel yang berada di wilayah Tebing Barat dan Semenajung Gaza serta penyerahan kuasa pemerintahan kedua kedua wilayah tersebut kepada Palestine National Authority ( PNA ). PNA adalah satu entiti kuasa pemerintahan yang ditunjangi oleh PLO yang bertujuan menyediakan Palestin untuk menyelia pentadbiran kedua dua wilayah tersebut. Syarat syarat perjanjian tersebut adalah untuk dilaksanakan secara berperingkat selama lima tahun.

Perjanjian Oslo Accord II pula menyusul pada 28hb September 1995 yang ditandatangani di Taba, Mesir. Perjanjian tersebut adalah lanjutan daripada penjanjian Oslo Accord 1 yang mengesahkan penyerahan kuasa pentadbiran Semenanjung Gaza dan Tebing Barat kepada PNA serta pengunduran tentera Zionist Israel daripada kedua dua wilayah tersebut. Perjanjian yang ditakrifkan sebagai kemenangan kepada rakyat Palestin oleh Barat hanyalah muslihat kerana jelas sehingga ke hari ini, keluasan kedua dua wilayah tersebut semakin mengecil dan Zionist Israel tetap kekal berkuasa.

Yang nyata, Zionist Israel tidak pernah melepaskan kekuasaan keatas kedua dua wilayah tersebut malah semakin menguatkan cengkaman mereka menekan rakyat Palestin. Kuasa autonomi yang dijanjikan keatas PNA sebenarnya hanya untuk mengaburi mata Dunia Islam kerana ternyata PNA hanya diberi kuasa terhad untuk mentadbir kedua dua wilayah tersebut. Yang paling mengecewakan, didalam kedua dua perjanjian tersebut tidak pernah menyebut tentang penubuhan negara berdaulat Palestin seperti yang digembar gemburkan oleh media barat ketika itu.

Sehingga ke hari ini, Palestin dan rakyatnya ditipu hidup hidup oleh Zionist Israel dan sekutu kuatnya Amerika Syarikat. Pengumuman Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo nyata hanya melengkapkan cita cita Zionist Israel untuk menjajah mahupun menakluk sepenuhnya Tebing Barat. Tindakan tersebut juga seolah olah amaran kepada mana mana negara Asia Barat agar tidak menyebelahi Palestin.

Mana mana negara yang meyebelahi Palestin bakal menerima nasib yang buruk seperti Iraq, Libya mahupun Iran yang dikenakan pelbagai sekatan ekonomi ataupun digulingkan pemimpin negara yang menyokong Palestin seperti Almarhum Muhammad Morsi, mantan Presiden Mesir. Yang jelas, lebih banyak negara menyokong Palestin, lebih kuat cengakaman Zionist Israel keatas Palestin. Sebenarnya, ini adalah petanda awal penaklukan sepenuhnya Tebing Barat oleh Zionist Israel.

Sikap Dunia Terhadap Perubahan Polisi Amerika Syarikat.

Pengumuman Amerika Syarikat membangkitkan kemarahan dunia dan mendapat tentangan daripada pelbagai pihak. Negara utama Kesatuan Eropah seperti Perancis, Jerman, Britain, Belgium dan Poland mengutuk tindakan tersebut sambil menegaskan bahawa pendudukan Zionist Israel keatas Tebing Barat dan pembinaan penempatan untuk penduduk haram Yahudi adalah tidak sah dan melanggar undang undang antarabangsa.

Kesatuan Eropah yang asalnya ingin mengeluarkan kenyataan bersama mewakili kesemua 28 negara dibawah kesatuan tersebut untuk mengecam tindakan Amerika Syarikat diancam Hungary untuk menggunakan veto bagi menghalang tindakan tersebut. Namun majoriti negara Eropah mengecam tindakan Amerika Syarikat mengubah polisi terhadap Tebing Barat. PBB turut mengecam tindakan Amerika Syarikat mengubah polisi mereka terhadap Tebing Barat sambil menegaskan penempatan haram Yahudi di wilayah tersebut dan penguasaan mereka adalah menyalahi undang undang antarabangsa.

Namun yang paling mengecewakan adalah sikap negara negara Asia Barat, Liga Arab dan OIC. Hampir boleh dikatakan langsung tiada kecaman mahupun bantahan terhadap perubahan polisi Amerika Syarikat tersebut melainkan hanya beberapa negara yang berani menyuarakan bantahan. Negara negara Asia Barat yang menormalisasikan hubungan dengan Israel langsung tidak bersuara. Apakah ini tanda persaudaraan Islam sudah terkubur, Islam hanya tinggal nama di Asia Barat atau kuasa dan wang sudah menjadi agama baru di Asia Barat ? Nyata sekali Dunia Islam teramat lemah dan hampir terkubur ditelan zaman.

Justeru adalah sangat wajar Kerajaan Malaysia melalui Parlimen mengemukakan usul supaya mengutuk tindakan Amerika Syarikat tersebut yang dilihat sebagai kejam, zalim serta tidak memperdulikan undang undang antarabangsa. Tekanan juga wajar diberikan ke atas OIC dan Liga Arab agar memainkan peranan aktif membantu Palestin dan rakyatnya agar tidak lagi dibuli serta ditindas oleh Zionist Israel serta kuasa kuasa besar dunia. Dunia Islam harus memainkan peranan penting untuk membela Palestin dan rakyatnya, bukan hanya berpeluk tubuh dan membiarkan Palestin diratah.

Sama sama kita mendoakan agar Palestin dan rakyatnya dilindungi Allah SWT. Semoga Dunia Islam kembali sedar dan bersatu menentang penjajahan zalim dan kejam oleh Zionist Israel ke atas Palestin dan rakyatnya serta mendoakan agar sampai masa dan ketikanya Zionist Israel berjaya dihalau keluar dari bumi Palestin insyaallah.

YB Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat ADUN Batu Burok.

SUMBER : 1media.my



Live Website Traffic


loading...