EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Keselamatan, Kehidupan Ekonomi Dan Ketenteraman Awam Tanggungjawab YDP Agong

0 month ago, 12-Jan-2021
save 2.0

Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain

Pengasas Jurisprudens Watan merangkap
Profesor Madya Fakulti Pengurusan Industri, UMP

Tanggal 13 Oktober 2020 menjadi buah mulut rakyat Malaysia bahkan ada ternanti-nanti untuk melihat senarai nama ahli Dewan Rakyat yang beralih sokongan kepada Dato Sri Anwar Ibrahim. Dakwaan DSAI bahawa Jemaah Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh akibat TSMY terhenti mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat ternyata masih belum dapat memuaskan hati Yang di-Pertuan Agong tentang kebenarannya. Sebaliknya Agong menasihati DSAI untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Menurut kenyataan Datuk Pengelola Istana Negara pada hari yang sama, Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, DSAI telah mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau. Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.    

Pada jam 2 petang hari itu juga DSAI mengadakan sidang media khas. Beliau menyatakan dokumen sahih telah dipersembahkan untuk menunjukkan majoriti kukuh dan meyakinan ahli-ahli Parlimen yang menyokong beliau. Beliau menyeru rakyat agar bersabar dan memberikan peluang kepada Agong untuk meneliti dokumen tersebut dan dalam tempoh beberapa hari lagi menitahkan ketua-ketua parti politik menghadap bagi maksud pengesahan yang perlu. Katanya, dokumen itu dalam bentuk akuan bersumpah dan pengesahan dokumen ketua-ketua parti. DSAI juga mengulangi penyataannya bahawa Kerajaan TSMY sudah jatuh kerana beliau mendapat sokongan lebih 120 orang ahli Dewan Rakyat.

Berdasarkan kenyataan Istana Negara, masih terlalu awal untuk membenarkan dakwaan DSAI bahawa PM tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. DSAI hanya mengemukakan jumlah ahli Dewan Rakyat tanpa senarai nama. Maklumat sedemikian pastinya tidak adil buat Agong untuk memberikan pertimbangan malah bercanggah dengan apa yang dijanjikan oleh DSAI sebelum ini, atau mungkin rakyat terkeliru dengan penyataan beliau. Mungkin tindakan DSAI hanya mengemukakan angka tanpa senarai nama merupakan satu helah untuk mengelakkan dakwaan beliau disanggah atau dituduh membuat representasi palsu. 

Ramai berpendapat bahawa tidak wajar buat DSAI untuk memohon Agong menitahkan ahli-ahli Dewan Rakyat atau ketua-ketua parti politik menghadap sedangkan setakat masa ini, sokongan 120 orang ahli Dewan Rakyat kepada beliau masih kekal sebagai satu dakwaan semata-mata, bukanlah fakta. Walau bagaimanapun perlu atau tidak Agong menitahkan pemimpin parti-parti politik menghadap merupakan prerogatif baginda di bawah Perlembagaan Persekutuan. Mungkin dakwaan itu merupakan strategi DSAI untuk memecahkan perpaduan Perikatan Nasional dengan mencetuskan suatu provokasi kepada pihak-pihak tertentu untuk membuat tuntutan terhadap TSMY sebagai Pengerusi PN. 

Dalam perkembangan perkara yang sama, dilaporkan pada 13 Oktober 2020, Mesyuarat Biro Politik UMNO memutuskan bahawa UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri dari menyokong PN dan akan memberi syarat baharu kepada Kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin. Keesokannya mula tersebar surat bertarikh 25 September 2020 yang mengandungi usul dari Tengku Razaleigh Hamzah kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan surat balasannya. Susulan daripada itu, pada 16 Oktober, Setiausaha Agung UMNO, Dato Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata UMNO tidak berhasrat kemukakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pada hari sama, selain daripada Tun Dr Mahathir, tiga orang lagi ahli Parlimen iaitu Jerlun, Kubang Pasu dan Simpang Renggam mengemukakan Usul Undi Tidak Percaya terhadap PM.

Istana Negara juga memberi reaksi terhadap suhu politik negara yang semakin jelas menimbulkan kegusaran rakyat jelata. Selain menyeru rakyat untuk menunailkan solat hajat bagi mendoakan kesihatan akibat penularan semula wabak COVID-19, titah nasihat Agong disampaikan melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada ahli-ahli politik. Nasihat Agong kepada rakyat khususnya ahli-ahli politik untuk bersama bermuhasabah agar negara ini tidak sekali lagi diheret ke kancah politik yang tidak menentu ketika negara masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman wabak COVID-19. Baginda mengulangi titah kepada ahli-ahli Parlimen untuk mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan memahami serta menjiwai keluh kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan mereka. Titah baginda lagi, ahli-ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan pemusuhan tetapi sebaliknya menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses-proses perundangan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai Agong, baginda mempunyai kewajipan untuk meletakkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam sebagai keutamaan demi melindungi maslahah rakyat selaras dengan sumpah baginda untuk berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri. Justeru, sebelum baginda membuat keputusan sama ada PM masih mempunyai kepercayaan ahli majoriti Dewan Rakyat atau tidak lagi, Agong mempunyai prerogatif untuk menasihati ahli Dewan Rakyat agar menguruskan pertikaian dalam kalangan mereka dengan mengambil kira kepentingan rakyat dan negara secara keseluruhannya. Baginda juga mempunyai prerogatif untuk menunda keputusan sama ada PM telah hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat dalam tempoh yang munasabah. 

Melihat kepada situasi pada hari ini, pilihan yang ada bagi Agong untuk memperkenankan sebuah Jemaah Menteri baharu atau pembubaran Parlimen boleh mengakibatkan implikasi lebih buruk daripada keadaan sedia ada. Perubahan pucuk pimpinan dan Jemaah Menteri baharu belum tentu boleh bertahan sehingga suatu tempoh menghabisi hayat Parlimen, malah belum tampak seorang calon PM yang mampu menghimpunkan sokongan lebih baik daripada TSMY. Jika Parlimen dibubarkan pula, pasca PRU berkemungkinan akan mengakibatkan penularan wabak COVID-19 ke tahap lebih kritikal. Kedua-dua keadaan di atas boleh memudaratkan lagi keadaan negara dari aspek kesihatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam ke suatu tahap yang mungkin Kerajaan tidak lagi mampu untuk berfungsi dengan baik melihat kepada implikasi kewangan negara sejak dilanda wabak COVID-19.  

Selaras dengan kewajipan Agong sebagai ketua utama negara yang mempunyai prerogatif, kuasa dan bidang kuasa seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan, baginda tidak dibataskan hanya solusi berlandaskan Perkara 43(4) untuk menguruskan kemelut yang melanda negara. Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan mengekalkan kuasa seorang pemerintah tertinggi untuk mengisytiharkan proklamasi darurat demi memelihara keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam dalam negara. Perkara 150 memperuntukkan berikut:

(1) Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian. 

(2) Proklamasi Darurat di bawah Fasal (1) boleh dikeluarkan sebelum sebenarnya berlaku kejadian yang mengancam keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa kejadian sedemikian hampir benar berlaku. 

Agong mempunyai kuasa untuk memasyhurkan mana-mana ordinan yang dikehendaki oleh sebab darurat walaupun tidak selaras dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan tertakluk pada kuasa itu tidak boleh memperluas kuasa Parlimen mengenai apa-apa perkara hukum Syarak atau adat Melayu atau mengenai apa-apa perkara undang-undang atau adat anak negeri di Negeri Sabah atau Sarawak; dan yang tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan berhubungan dengan apa-apa perkara sedemikian atau berhubungan dengan agama, kewarganegaraan, atau bahasa. 

Semasa suatu proklamasi darurat sedang berkuat kuasa, Agong boleh memasyhurkan apa-apa ordinan sebagaimana yang didapati perlu mengikut hal keadaan jika Agong berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta. Sesuatu ordinan yang dimasyhurkan mempunyai kuat kuasa dan kesan yang sama sebagaimana Akta Parlimen, dan hendaklah terus berkuat kuasa dan berkesan sepenuhnya seolah-olah ordinan itu ialah Akta Parlimen sehingga ordinan itu dibatalkan atau diungkaikan di bawah Perkara 150(3) atau sehingga ordinan itu luput di bawah Fasal (7). Kuasa Agong untuk memasyhurkan ordinan semasa darurat boleh dijalankan berhubung dengan apa-apa perkara mengenainya Parlimen berkuasa membuat undang-undang, tanpa menghiraukan tatacara perundangan atau tatacara lain yang dikehendaki diikuti, atau perkadaran jumlah undi yang dikehendaki diperoleh di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen.

Justeru, Agong mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan darurat di bawah Perkara 150(1) bagi tujuan menghalang ancaman kepada kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam negara. Bagi maksud itu, Agong berkuasa untuk memberi kuasa kepada Jemaah Menteri yang ada pada hari ini untuk meneruskan fungsi kuasa eksekutif seperti amalan di bawah Perlembagaan Persekutuan sehingga suatu tarikh seperti termaktub dalam ordinan, atau secara objektifnya untuk menggantung Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan. Agong juga berkuasa untuk memasyhurkan ordinan yang perlu untuk membolehkan Jemaah Menteri yang ada bagi memulihkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam negara demi kesejahteraan rakyat jelata.

Namun begitu, sebelum Agong mengambil sebarang keputusan seperti di atas, amat wajar baginda berunding dengan Jemaah Menteri dan Majlis Keselamatan Negara terlebih dahulu. Tujuan dan polisi yang tersentuh dengan proklamasi darurat perlu dijelaskan sebaik-baiknya agar rakyat dan pelabur di negara kita tidak panik. 

Rakyat perlu diberi kefahaman bahawa proklamasi darurat bukanlah suatu perkara yang baharu malah hanya pada tahun 2012 darurat dirungkaikan setelah usul dibentangkan di Parlimen. Usul tersebut telah dibentangkan pada 24 November 2011 oleh Dato Sri Mohd Najib Razak, Perdana Menteri ketika itu untuk memansuhkan tiga proklamasi darurat, iaitu:

1.Proklamasi Darurat 1966 di Sarawak pada 14 September 1966 akibat pertikaian politik;

2.Proklamasi Darurat 1969 di Persekutuan pada 15 Mei 1969 akibat rusuhan kaum pada 13 Mei 1969; dan

3.Proklamasi Darurat 1977 di Kelantan pada 8 November 1977 akibat pertikaian politik .

Meskipun Persekutuan berada dalam tempoh darurat dari tahun 1969 hingga 2012, Parlimen masih bersidang dan PRU tetap diadakan. Malaysia terus maju jaya dalam tempoh tersebut. Proklamasi darurat kali ini jika berlaku seharusnya bagi maksud ordinan tersebut di atas serta buat tempoh sesingkat dua tahun untuk memastikan pemerintahan dan jentera pentadbiran negara dapat ditumpukan pada keutamaan semasa sehinggalah Parlimen dibubarkan. Itulah keistimewaan kedudukan Agong sebagai pemerintah tertinggi Persekutuan yang didokong oleh Majlis Raja-Raja untuk memelihara prinsip keluhuran Perlembagaan, pemerintahan yang adil dan keamanan dalam negera demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya.


 



SUMBER : 1media.my



Live Website Traffic


loading...