EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

Kerajaan Sarawak tubuh unit khas selaras, selia dana untuk sekolah Cina

0 month ago, 16-Sep-2020

KOTA SAMARAHAN,. Kerajaan Negeri Sarawak menubuhkan satu unit khas bagi menyelaras dan menyelia bantuan kewangan yang diberikan kepada sekolah Cina di negeri itu, kata Ketua Menterinya Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini.

Beliau berkata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Sim Kui Hian bakal mengetuai unit itu yang akan memastikan dana daripada kerajaan negeri disalurkan dengan sewajarnya kepada sekolah Cina.

Sebelum ini, terdapat banyak permohonan untuk dana yang diterima daripada sekolah Cina namun tidak ada satu badan khas bagi menyelaras kesemua permohonan ini. Ia (unit itu) akan turut membantu menganggarkan jumlah belanjawan tahunan yang diperuntuk kepada sekolah terbabit, katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan sekolah baharu iaitu SJK Chung Hua Bako di sini.

Abang Johari berkata sekolah Cina di Sarawak kini mempunyai pelajar berbilang kaum dan sejumlah 20,000 daripada kira-kira 60,000 pelajarnya adalah Bumiputera.

Ia bukan lagi sekolah untuk kaum Cina sahaja kerana kini ia boleh dikatakan sudah bersifat sejagat. Mereka turut belajar Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains manakala pelajar yang tidak bertutur dalam Bahasa Mandarin boleh mempelajari bahasa itu, katanya.

Abang Johari berkata perubahan di sekolah Cina perlu dilakukan dalam usaha memperkaya ilmu dan harus dibuat dalam pelbagai dimensi manakala interaksi pelajar berbilang kaum bakal memupuk pemahaman yang lebih baik.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan membina sekolah antarabangsa selain sekolah awam dan sekolah antarabangsa pertama dijangka dilancarkan bulan ini.

Dasar pendidikan kita ialah membentuk sikap yang betul serta menyediakan latihan yang tepat untuk penduduk Sarawak untuk diguna pakai pada masa akan datang, dan itu adalah asasnya, kata beliau.

Katanya kerajaan negeri telah menyalurkan sejumlah RM17 juta kepada sekolah Cina dengan agihan RM8 juta untuk sekolah rendah dan RM9 juta untuk sekolah menengah.

BERNAMA


Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...