EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Kerajaan Pulau Pinang bertegas mahu teruskan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR)

0 month ago, 10-Jun-2021

 


Kerajaan Pulau Pinang tetap bertegas meneruskan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) walaupun mendapat desakan daripada pelbagai pihak yang mahu ia dibatalkan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata PSR tidak akan dihentikan memandangkan pelbagai proses sudah diambil dan dilakukan sejak bertahun-tahun lalu termasuk menjelaskan kepentingan projek berkenaan.

"Kita tidak perlu memilih antara PSR dan alam sekitar serta nelayan. Kemajuan teknologi dan kejuruteraan membolehkan kita membangunkan PSR dan pada masa sama, tetap memelihara alam sekitar serta masyarakat.


"Kerajaan negeri tidak pernah menafikan projek ini akan memberi kesan, malah selalu berkongsi dengan masyarakat mengenai rancangan untuk mengurangkan kesannya.

"Ia termasuk mewujudkan habitat baharu untuk hidupan laut dan memberi lebih banyak peluang pekerjaan serta perniagaan kepada nelayan dan penduduk setempat lain," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata, apa yang lebih penting adalah mempertimbangkan faedah sosioekonomi bakal diperoleh melalui PSR ke Pulau Pinang yang mempunyai nilai lebih besar daripada pulangan wang.

"Penciptaan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi dirangsang pelaburan domestik serta antarabangsa akan memberikan kestabilan kewangan dan keselamatan kepada rakyat.

"Inisiatif hijau seperti pembangunan dan pengangkutan rendah karbon, penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta penyediaan ruang terbuka pula akan menyumbang ke arah peningkatan gaya hidup dan kesejahteraan awam selama beberapa dekad yang akan datang. Manfaat ini juga harus diambil kira.

"Kerajaan negeri percaya kita dapat mencapai semua perkara di atas dan mematuhi sepenuhnya syarat kelulusan ketat ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS)," katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang bercadang melaksanakan projek PSR dengan keluasan lebih 2,600 hektar bagi membina tiga pulau buatan untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan (PIP), dianggar bernilai RM49 bilion dan melantik SRS Konsortium sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP).

Projek mega itu bagaimanapun mendapat tentangan pelbagai pihak dengan golongan nelayan tradisi di Pulau Pinang dikatakan paling teruk terjejas, selain ia dilapor boleh mengubah sempadan laut negara dan mungkin menimbulkan masalah dengan negara jiran.

Kontroversi bagi membangunkan tiga pulau buatan itu terus membelenggu hampir 1,500 nelayan tradisi di kawasan berkenaan yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut sebagai punca pendapatan, sejak ia diperkenalkan pada 2013.

BH



SUMBER : penangkini.com



Live Website Traffic


loading...