EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Kenyataan Akhbar KPK 7 April 2021 Hari Kesihatan Sedunia 2021

0 month ago, 07-Apr-2021

HARI KESIHATAN SEDUNIA 2021: MEMBINA DUNIA YANG LEBIH SIHAT DAN SAKSAMA

Kementerian Kesihatan Malaysia ingin mengucapkan Selamat Hari Kesihatan Sedunia 2021 kepada seluruh penduduk di Malaysia. Tarikh 7 April setiap tahun merupakan sambutan Hari Kesihatan Sedunia. Tema sambutan tahun ini adalah Membina Dunia yang Lebih Sihat dan Saksama atau Building a Fairer Healthier World. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan usaha global untuk mengurangkan jurang ketidaksamaan kesihatan bagi mencapai kesihatan optimum bagi semua, dan KKM sememangnya sentiasa berusaha bagi memastikan perkara ini dapat dicapai melalui pelbagai inisiatif yang telah dirangka dan dilaksana.

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia telah memberi impak dan kesan mendalam terhadap aspek sosio-ekonomi dunia bagi banyak negara, lantas memberi kesan terhadap banyak perkara asas kehidupan seharian. Banyak negara menghadapi cabaran getir untuk mengimbangi pendekatan menyelamatkan nyawa (live) serta mata pencarian (livelihood), dan Malaysia juga tidak terkecuali dalam aspek ini.

Bagi sama-sama menangani cabaran ini, Malaysia telah menggunakan pendekatan The whole of Government and Society approach, di mana Kerajaan telah mewujudkan pelbagai kerjasama di antara kementerian-kementerian, agensi-agensi kerajaan, badan bukan kerajaan pelbagai sektor dan juga komuniti setempat. Aktiviti kesihatan awam dan perkhidmatan perubatan terus dijalankan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat, tidak kira pangkat, umur, bangsa mahupun status kewarganegaraan mendapat akses yang saksama. Ini sememangnya sejajar dengan semangat solidariti iaitu tiada siapa yang akan ketinggalan (leaving no one behind).

Kesihatan setiap penduduk di Malaysia amatlah bermakna. Setiap dari kita boleh memainkan peranan untuk menjaga diri sendiri serta orang di sekeliling kita. Teruskanlah mengamalkan moto yang sering diutarakan Kita jaga kita pada setiap masa dan tempat. Semua pihak tidak boleh leka dan perlu konsisten mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan semua langkah pencegahan yang telah disarankan, kerana ini akan membuahkan kemenangan melawan COVID-19, bukan sahaja dari aspek kesihatan, tetapi juga sosio-ekonomi.

Sekali lagi KKM ingin mengucapkan Selamat Hari Kesihatan Sedunia 2021 kepada seluruh penduduk di Malaysia. Semoga kita dapat mencapai Malaysia yang lebih sihat dengan kesihatan yang saksama.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

7 April 2021



SUMBER : kpkesihatan.com



Live Website Traffic


loading...