EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Kenyataan Akhbar KPK 8 April 2021 105 Jenis Produk Bernilai Lebih RM800 Ribu Yang Menyalahi Undang-undang Telah Dirampas KKM

0 month ago, 08-Apr-2021

SERATUS LIMA (105) JENIS PRODUK BERNILAI LEBIH RM800 RIBU YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG DIRAMPAS

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah berjaya merampas beberapa jenis ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi bernilai lebih RM800 ribu dari tiga lokasi di Negeri Perak. Rampasan ini adalah hasil daripada pemeriksaan berdasarkan maklumat yang diterima oleh CPF JKN Perak bahawa terdapat penjualan keluaran-keluaran tersebut secara runcit oleh pemilik premis terbabit. Operasi telah dilakukan pada 5 April 2021 di tiga buah premis di Ipoh. 

Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menemui lebih seratus jenis ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi dari tiga premis terbabit. Semua premis berkaitan disyaki merupakan salah satu rangkaian pengedar terbesar keluaran-keluaran tersebut ke pasaran di sekitar negeri Perak. Produk yang telah dirampas ini adalah merangkumi pelbagai jenis produk termasuk produk bina badan yang tidak berdaftar serta mengandungi racun antaranya yohimbine dan hormon testosterone. Rampasan ini juga merangkumi produk suntikan untuk bina badan.

Hormon testosterone dikategorikan sebagai racun terkawal dan hanya boleh diambil atas nasihat doktor dan ahli farmasi. Hormon testosterone kerap disalahgunakan oleh individu untuk tujuan membina otot badan.

Individu atau syarikat yang didapati terlibat menjual ubat-ubat dan kosmetik-kosmetik berkenaan akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952. Jika disabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya.

Manakala, bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut pula, boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya. Ini adalah bagi kesalahan yang dilakukan di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan kepada mana-mana individu atau syarikat yang menjual produk-produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi agar menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta memandangkan produk-produk tersebut tidak terjamin daripada segi kualiti dan keselamatannya. KKM menyarankan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membeli produk kesihatan atau kosmetik dari media sosial.

Orang ramai perlu menyemak status pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik sebelum membeli dengan melayari laman sesawang https://www.npra.gov.my di ruangan Product Status ATAU dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400. Selain itu, orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store, Apple App Store atau Huawei AppGallery bagi menyemak status pendaftaran produk kesihatan atau kosmetik tersebut.

Sebarang aduan dan maklumat mengenai penjualan atau pengiklanan produk kesihatan / kosmetik yang meragukan boleh dibuat melalui Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat https://moh.spab.gov.my ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 bagi membantu Kementerian membanteras penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi yang boleh memudaratkan kesihatan dan kesejahteraan orang awam.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

8 APRIL 2021



SUMBER : kpkesihatan.com



Live Website Traffic


loading...