EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

EPL 2019/20: Kemenangan 5-3 Serikan Lagi Pesta Kejuaraan Liverpool

0 month ago, 23-Jul-2020

Lapan gol terhasil pada perlawanan di antara Liverpool bertemu Chelsea apabila skuad juara Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20 itu mencatatkan kemenangan 5-3 di Anfield, sebentar tadi.

Perlawanan sebentar tadi turut memberikan makna yang cukup besar buat Liverpool apabila skuad bimbingan Jurgen Klopp itu dengan bergaya menjulang trofi EPL buat pertama kali sejak saingan ini diperkenalkan pada 1992.

Liverpool yang turun beraksi tanpa sebarang tekanan berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-23 susulan rembatan padu dari luar kawasan penalti menerusi Naby Keita sekaligus menewaskan penjaga gol, Kepa Arrizabalaga.

Berselang 15 minit kemudian, giliran Trent Alexander-Arnold pula mencetak nama selaku penjaring apabila sepakan percuma menarik yang dilepaskannya terus menerjah gawang dan hanya mampu dilihat oleh Kepa.

Tidak cukup dengan itu, Georginio Wijnaldum mengukuhkan kedudukan pada minit ke-43 berpunca daripada situasi sepakan sudut sebelum Olivier Giroud mengurangkan defisit jaringan di masa kecederaan.

Tuan rumah yang masih belum selesa dengan kelebihan dua jaringan tersebut menambah jaringan keempat pada minit ke-55 setelah Roberto Firmino menanduk masuk bola hasil hantaran lintang cantik dilakukan Alexander-Arnold.

Detik yang begitu dinantikan oleh Firmino kerana jaringan itu merupakan gol pertamanya di Anfield sejak bulan Mac 2019.

Langkah Frank Lampard memasukkan Christian Pulisic, Tammy Abraham dan Callum Hudson-Odoi jelas menambah bisa jentera serangan The Blues dan ia dibuktikan pada minit ke-61.

Pulisic melakukan gerakan solo di mana berjaya melepasi kawalan tiga pemain pertahanan Liverpool dan beliau kemudiannya melakukan lorongan kepada Abraham yang tidak melepaskan peluang untuk menjaringkan gol kedua.

Di minit ke-73, giliran Pulisic pula meledakkan jaringan selepas turning cantik dilakukannya disusuli dengan rembatan dalam kawasan penalti yang menewaskan Alisson Becker untuk menjadikan kedudukan 4-3.

Ketika Chelsea berusaha keras untuk menyamakan kedudukan, Alex Oxlade-Chamberlain memadamkan api perjuangan The Blues dengan jaringan kelima yang dihasilkan pada minit ke-83.

Keputusan itu kekal hingga tamat permainan untuk menyerikan lagi upacara penyerahan trofi Liga Perdana Inggeris yang diadakan sebaik sahaja perlawanan tersebut berakhir.

Kredit featured image: Liverpool


SUMBER : semuanyabola.com

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...