EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

KEMASKINI TAKWIM DIGITAL SETIAP TAHUN, ELAK WAKTU SOLAT TERSASAR

0 month ago, 19-Sep-2023

IPOH: Semua masjid diminta mengemaskini takwim digital setiap tahun bagi mengelakkan waktu solat salah atau tersasar.

Ketua Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak, Mohamad Faizal Jani berkata, masa yang dipapar pada takwim digital perlu dipastikan tepat dengan Waktu Standard Malaysia (WSM) yang diukur berdasarkan waktu seragam sejagat oleh makmal masa dan frekuensi, Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM).

Dalam pelaksanaan waktu solat kita di Malaysia, kita menggunakan sistem zon dan satu lagi kita menggunakan parameter yang mungkin berubah.

Contoh yang saya sebutkan tadi waktu subuh hari tu berlaku perubahan daripada parameter 20 degree kepada 18 degree.

Jadi jika masjid yang menggunakan takwim digital itu tidak mengemaskini, ianya akan menyebabkan waktu solat mereka lebih awal lapan minit pada waktu subuh tersebut, katanya kepada AlHijrah Online.

Menurut Mohamad Faizal, perbezaan zon akan mengurangkan atau menambah masa yang membezakan waktu solat di setiap zon negeri-negeri.

Jelas beliau, kedudukan latitud dan longitud juga boleh membezakan waktu solat.

Justeru katanya, waktu solat pada takwim digital perlu dikemaskini bagi mengelakkan umat Islam menunaikan solat tidak pada waktunya.

Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-116 pada 2019 pernah memutuskan perubahan waktu solat subuh yang perlu dilewatkan lapan minit membabitkan seluruh negara, katanya.

Beliau menjelaskan, keputusan yang dibuat itu menggunakan parameter altitud matahari pada 18 di bawah ufuk yang menyebabkan kepada perubahan waktu solat berkenaan.

Mohamad Faizal pada masa yang sama berkata, aplikasi solat yang dibangunkan di peranti atau telefon pintar juga perlu dikemaskini kerana dibimbangi berbeza mazhab.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi peneragan asas falak dalam penentuan arah kiblat dan waktu solat sempena Program Hari Geomatik di Politeknik Ungku Omar di Ipoh, semalam. AlHijrah Online




SUMBER : alhijrahnews.com