EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Keluarga parkir

0 month ago, 10-Sep-2019

KESEMPITAN hidup sebuah keluarga memaksa mereka berteduh di tempat letak kenderaan di sebuah bangunan parkir bertingkat di Kepong, dekat sini, sejak Mei lalu.

Keputusan itu dibuat selepas mereka tidak lagi mampu menyewa berikutan rumah panjang yang disewa sebelum ini secara haram di kawasan terbabit dengan harga RM200 dirobohkan pihak berkuasa.

Begitu pun, mereka tidak mengeluh sebaliknya bersyukur meskipun bukan mudah buat keluarga Muhd Ilham Roslan, 42, bersama isteri dan tiga lagi anaknya berusia lima hingga sembilan tahun.

Bertambah malang lagi, apabila dia juga menghidap penyakit Hepatitis C dan juga asma selain isterinya yang turut mengalami masalah kesihatan iaitu gangguan saraf serta kemurungan.

Menurut Ilham, pendapatannya itu hanya bergantung dengan hasil kerja menolak sayur di sebuah pasar berdekatan situ dengan upah RM45 sehari mengikut keadaan kesihatannya.

Walaupun bekerja dengan warga asing namun saya tidak kisah. Saya lakukan kerja terbabit dari jam 1 pagi sehingga 6 pagi hampir setiap hari.

Dulu saya berkerja sebagai pemandu lori namun terpaksa melupakan kerja itu selepas kami hilang tempat tinggal selain mempunyai masalah kesihatan. Sebagai seayah dan suami, saya tidak sanggup biarkan mereka tinggal di parkir tanpa pengawasan.

Masalah kami hanya tidak mampu untuk menyewa rumah saja selain mempunyai keterbatasan untuk bekerja akibat masalah kesihatan. Makan dan minum pula, setiap hari saya ambil di Pusat Agihan Zakat (PAZA), Baitulmal.

Alhamdulillah, walaupun hanya ambil di pusat bantuan itu namun saya bersyukur berikutan masih boleh makan bersama-sama setiap hari seperti keluarga lain dengan beralas tikar, katanya kepada Harian Metro.

Ilham berkata, mereka pernah tinggal di rumah ibunya sebelum memilih untuk berlindung di dalam kereta miliknya yang rosak di tempat parkir itu.

Anak masih tinggal di rumah ibu. Namun, makan minum serta urusan sekolah, saya uruskan termasuk wang belanja dan menghantar serta menjemput mereka pulangke rumah.

Apabila cuti hujung minggu dan cuti sekolah saja mereka tidur bersama kami di sini. Ayah mana yang sanggup nak tengok anak mereka tidur di atas lantai parkir.

Apa sekalipun, saya tidak sanggup berpisah dengan anak. Biar tiada tempat tinggal pun tidak mengapa, janji kami semua bersatu walaupun cara sebegini, katanya.

Mengakui perit kehidupannya itu, Ilham percaya yang ada keluarga yang lagi susah daripada mereka.

Hidup kami memang serba kekurangan. Kami tidak pernah meminta, tetapi masih bersyukur ada insan prihatin yang kadangkala memberi sedekah seperti barangan keperluan harian.

Walaupun, sudah empat bulan kami tinggal di sini, namun ia seperti baru saja semalam selagi kami semua masih bersama-sama.

Pernah anak saya tanya kenapa keluarga kita susah tak seperti orang lain yang mempunyai rumah sendiri.

Namun, saya hanya memberitahu mereka untuk belajar rajin-rajin dan tidak menjadi seperti saya. Hanya pendidikan yang boleh mengubah kesusahan, katanya yang turut menerima bantuan bulanan Baitulmal dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Muhd Ilham di 1413929000089533.

DBKL usaha sedia tempat tinggal selesa

pejabat Ahli Parlimen Kepong sedang berusaha mencari rumah sewa yang lebih selesa bagi menempatkan keluarga Muhd Ilham Roslan yang tinggal di tempat letak kenderaan di sebuah bangunan parkir bertingkat di Kepong sejak Mei lalu.

Ketua Penaja Amanah Kepong, Datuk Mohd Noor Ali Akbar berkata, pihaknya baru saja mendapat maklumat mengenai keluarga terbabit pada minggu lalu dan segera menghulurkan bantuan.

Kami sudah melawat keluarga terbabit pada Khamis lalu bersama beberapa agensi kerajaan termasuk bahagian komuniti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan.

Insha-Allah, DBKL akan menyediakan tempat tinggal bagi keluarga terbabit dengan surat yang disyor Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Namun, sebelum mereka mendapat rumah itu, pihak MAIWP akan mencari rumah sementara yang lebih selesa berdekatan situ.

Sewa terbabit akan dibayar pihak MAIWP melalui Baitulmal, katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, pihaknya akan menyelaras semua bantuan yang diperlukan oleh keluarga terbabit dengan secepat mungkin.

Kita cuba pindahkan keluarga terbabit selewat- lewatnya minggu depan.

Wakil kami kini mencari rumah yang selesa bagi menempatkan keluarga itu secara sementara supaya mereka tidak lagi perlu tinggal di parkir terbabit, katanya.


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic





www.edisiviral.com