EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Kelayakan Piala Dunia: Jaringan Nguyen Quang Hai Kecewakan Harimau Malaya

0 month ago, 10-Oct-2019

Jaringan penyerang berusia 22 tahun, Nguyen Quang Hai pada babak pertama menjadi pemisah untuk Vietnam meraih tiga mata dan kemenangan tipis 1-0 ke atas Malaysia dalam aksi Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, sebentar tadi.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium My Dinh, kehilangan Nor Azam Azih di jentera tengah menampakkan sedikit kepincangan kepada skuad negara selain aksi bawah tahap sebenar beberapa pemain telah merencatkan permainan Harimau Malaya.

Permainan seimbang dipamerkan oleh kedua-dua pasukan dalam babak pertama apabila saling cuba mengatur asakan dengan tuan rumah terlebih dahulu mendahului perlawanan. Kejutan daripada Tan Cheng Hoe adalah kemasukkan Halim Saari bergandingan bersama Brendan Gan di jentera tengah Harimau Malaya.

Vietnam pula dilihat membuat dua perubahan dengan kemasukkan dua pemain penting mereka yang berpengkalan di luar negara, Nguyen Cong Phuong dan Doan Van Hau. Nyata di babak pertama, Cong Phuong adalah kunci asakan tuan rumah.

Safawi Rasid Malaysia Vietnam Kelayakan Piala Dunia

FOTO: FAM

Wira hatrik dalam aksi persahabatan menentang Sri Lanka, Syafiq Ahmad jelas dikawal ketat oleh pertahanan tuan rumah, Do Duy Manh, menjejaskan sedikit rentaknya. Asakan dari koridor kanan menerusi Mohamadou Sumareh juga kurang dijelmakan.

Sementara Naga Emas pula sering cuba untuk membuat hantaran-hantaran lolos mencari Cong Phuong yang turut dirantai oleh Aidil Zafuan dengan pintasan segera berjaya dilakukan Aidil Zafuan. Dan beberapa kali juga, Vietnam berhasil diperangkap offside.

Harimau Malaya hampir mengejutkan lawan di minit ke-10 apabila sepakan penjuru Safawi Rasid disambut baik Shahrul Saad namun gagal menghasilkan gol apabila bola didakwa terkena tangannya terlebih dahulu di depan gawang yang dikawal Dang Van Lam.

Cong Phuong dilihat sering kali menghadirkan debaran buat Farizal Marlias apabila lolos daripada kawalan pertahanan namun sedikit kesilapan kawalan bola menggagalkan usaha tuan rumah. Dua kali penjaga gol negara itu dipaksa meninggalkan gawangnya untuk menyelamatkan bola yang hampir tiba di kaki penyerang itu.

Farizal Marlias Malaysia Vietnam Kelayakan Piala Dunia

FOTO: Zing VN

Minit ke-28, asakan pantas Vietnam di sebelah kanan skuad negara selepas merampas kawalan bola menghasilkan jaringan gol namun Nguyen Quang Hai telah didapati offside terlebih dahulu sebelum percubaannya itu berjaya menewaskan Farizal Marlias.

Quang Hai akhirnya berjaya menebus kekecewaannya di minit ke-40 apabila berjaya membuat sentuhan mudah di depan gawang selepas menerima lambungan kemas Que Ngoc Hai untuk jaringan pertama dan pendahuluan buat Vietnam gol ke-6 antarabangsa dan juga gol sulung Vietnam di pusingan kelayakan kali ini.

Berbanding tuan rumah, Malaysia tampak agak statik dan terikat dengan struktur yang dibentuk tanpa cuba menghasilkan gerakan dari sumber kekuatan utama iaitu di sebelah sayap negara, sama ada menerusi Sumareh mahupun Safawi Rasid. Ini yang memaksa Cheng Hoe untuk membuat pertukaran awal, memasukkan Akhyar Rashid di minit ke-57 menggantikan Norshahrul Idlan Talaha.

Norshahrul Idlan Talaha yang senyap sepanjang babak pertama terpaksa digantikan untuk menolak Sumareh ke posisi penyerang utama dan Akhyar Rashid menggambil alih peranannya. Ketiadaan Matthew Davies dan Corbin Ong di final third dengan lebih fokus di zon bawah juga memberi kesan terhadap jentera serangan.

Norshahrul Idlan Malaysia Vietnam Kelayakan Piala Dunia

FOTO: FAM

Shahrul Saad berjaya menafikan percubaan boleh gol penyerang veteran, Nguyen Anh Duc di depan gawang, selepas Farizal Marlias yang keluar meninggalkan posisinya gagal merampas bola tersebut pada minit ke-73 sebelum Brendan Gan hadir dengan percubaan tersasar untuk skuad negara dua minit kemudian.

Biarpun Naga Emas sudah mengurangkan penguasaan dalam 10 minit terakhir, Harimau Malaya masih gagal mencari rentak untuk membina asakan lebih baik ke kubu tuan rumah untuk memburu gol penyamaan. Tiada gol mampu dihasilkan hingga ke wisel penamat dan Vietnam berjaya meraih tiga mata penuh.

Kemenangan Vietnam ke atas Malaysia ini seakan-akan ulangan kepada keputusan ketika di pentas final Kejohanan AFF Suzuki 2018 pada Disember lalu, juga di stadium yang sama.

Kredit Featured Image: The Thao VTV


SUMBER : semuanyabola.com



Live Website Traffic


loading...