EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Anak buah rayu LTK kekal

0 month ago, 11-Aug-2019

TOLONG kekalkan jurulatih LTK (Lim Teong Kim). Itu permintaan pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Raja Muhammad Haikarl Raja Muhammad Zahari yang mengaku Teong Kim adalah individu paling tepat untuk terus mengemudi AMD selaku Pengarah Teknikal.

Haikarl, 15, yang ketika ini berada di Osaka, Jepun sempena program Projek Impian ASEAN (ADP) 2019 menganggap, bekas jurulatih akademi Bayern Munich itu memiliki ilmu bola sepak cukup tinggi yang banyak mengubah cara pemikiran dan teknik permainan pemain-pemain di AMD.

Saya tahu beliau akan balik ke Jerman selepas kontraknya tamat bulan 10 (Oktober) ini. Kalau boleh saya harap beliau kekal di AMD. Saya dan kawan-kawan yang ada di AMD saja tahu siapa sebenarnya beliau.

Di luar nampak garang tapi sebenarnya apa yang diajar adalah untuk kebaikan supaya kami di AMD berubah dan mengikut budaya bola sepak Eropah sebenar. Kalau boleh bagi beliau masa sebab kami baru saja bersama dan kalau kekal lebih lama, tentu kami semua di AMD akan bertambah bagus, katanya yang terpilih menganggotai skuad ADP 2019 untuk berlatih dan menentang akademi Cerezo Osaka.

Terdahulu, menerusi laporan Arena Metro, Khamis lalu, Majlis Sukan Negara (MSN) mendedahkan pihaknya sudah mempunyai calon pengganti Teong Kim sebagai Pengarah Teknikal AMD dan ia akan dibincangkan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada mesyuarat bulan depan.

HAIKARL

Bagaimanapun, sebaik laporan berkenaan disiarkan, ia terus mendapat perhatian jutaan peminat bola sepak tanah air apabila ramai yang mendesak supaya Teong Kim dikekalkan.

Malah, paling mencuri tumpuan apabila puluhan halaman media sosial terutamanya di Facebook, Instagram dan Twitter melancarkan kempen selamatkan Teong Kim menerusi #saveltk. Bukan itu saja, kebimbangan peminat turut diluahkan di setiap ruangan komen FAM dan halaman-halaman sukan lain meskipun status yang dimuat naik hanya berkaitan perkembangan futsal, jadual aksi Piala Malaysia dan lain-lain.

Bagi seorang lagi pemain AMD iaitu Muhammad Danial Haiqal Mohd Shaipol, Teong Kim banyak mengajarnya tentang falsafah bola sepak moden termasuk mengubah gaya permainannya yang sebelum ini tidak berkesan.

Saya main posisi penyerang. Jurulatih selalu marah saya sebab tak berada pada kedudukan terbaik dalam kotak penalti. Tapi sekarang Alhamdulillah, permainan saya sudah banyak meningkat dan sekarang saya terpilih sertai pasukan ADP menentang Cerezo Osaka.

Kena ingat... beliau pernah mengubah gaya permainan Thomas Muller dan akhirnya jadi antara penyerang terbaik dunia, katanya.

Untuk rekod, kontrak Teong Kim akan tamat pada 31 Oktober ini selepas hampir lima tahun mengendalikan AMD dan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP). Begitupun, reputasinya sedikit tercalar ekoran kegagalan memenuhi sasaran layak ke Piala Dunia Remaja B-17 di Brazil tahun ini dan faktor itu dijadikan alasan utama untuk tidak menyambung kontraknya.


SUMBER : hmetro.com.my



Live Website Traffic





www.edisiviral.com