EdisiViral.Com Search Guest Post Login

Kajian terkini: Peningkatan obesiti dalam kalangan orang muda berpunca daripada teknologi pintar

0 month ago, 13-Aug-2019

Semakin hari, kita disajikan dengan pelbagai teknologi terkini yang moden dan canggih. Penggunaan telefon pintar yang dianggap wajib dan penting bagi setiap individu seolah-olah menjadikan penggunanya tidak mampu untuk meneruskan hidup tanpa adanya alat teknologi ini. Malah, ada yang menjadikan telefon pintar ini bukan sahaja sebagai alat untuk memudahkan jaringan komunikasi tetapi juga hiburan utama dalam kehidupan seharian.

Gambar Hiasan -Afta Putta Gunawan-Pexels

Berdasarkan statistik kajian, telefoni telefon pintar atau intelligent mobile telephony (IMT) telah tersebar secara meluas ke seluruh populasi dunia terutamanya golongan belia. Malah, penembusan IMT ke pasaran dunia mencecah 7.9 bilion unit, jauh meninggalkan jumlah penduduk yang ada di Bumi! Namun, di sebalik kisah kecanggihan teknologi ini, ia mengakibatkan kesan yang negatif kepada kesejahteraan manusia.

Kajian menunjukkan ketagihan masyarakat terhadap penggunaan telefon pintar menyebabkan berlakunya peningkatan kadar obesiti disebabkan oleh kurangnya penglibatan pengguna dalam aktiviti fizikal seperti bersenam. Bukan sahaja itu, pengamalan gaya hidup yang tidak sihat ini juga menyebabkan masyarakat menghidap pelbagai penyakit berisiko tinggi seperti jantung dan penyakit kardiovaskular lain.

Gambar Hiasan -AllGo - An App For Plus Size People-Unsplash

Dalam hasil dapatan kajian yang dilakukan terhadap 1,060 pelajar Fakulti Sains di Universiti Simon Bolivar (Colombia) ini menunjukkan peningkatan risiko obesiti sebanyak 43% sekiranya pengguna menghabiskan lebih daripada lima jam untuk menggunakan telefon pintar. Hal ini demikian kerana pengguna yang ketagih menggunakan telefon cenderung untuk mengambil makanan yang mengandungi gula, lemak, makanan ringan dan makanan segera sebanyak dua kali ganda!

Pada masa yang sama, ketagihan penggunaan telefon pintar ini juga akan menyebabkan kegemukan disebabkan oleh kurangnya pergerakan aktif serta terlalu bergantung kepada mesin. Masalah ini melibatkan semua peringkat umur dan juga jantina sekali gus menjejaskan kualiti hidup seseorang manusia. Isu obesiti menjadi satu krisis yang begitu membimbangkan sehinggakan penyakit ini digelar penyakit era millenium.

Persatuan Canadian Paediatric melaporkan waktu yang dihadkan kepada golongan kanak-kanak dan remaja untuk menggunakan telefon pintar adalah tidak melebihi dua jam sehari! Semakin banyak masa yang diluangkan di hadapan skrin, semakin tinggi tingkah laku sedentari (aktiviti melibatkan penggunaan tenaga yang sedikit). Hal ini kerana ia akan melemahkan daya kecerdasan dan menyebabkan manusia menjadi lemah, mudah lesu dan menghidap pelbagai penyakit serius.

Gambar Hiasan -Kelly Sikkema-Unsplash

"Bagi kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah, tidak patut untuk mereka didedahkan dengan penggunaan gajet atau diharamkan bermain gajet, selain mengurangkan menonton televisyen dan internet."

"Bagi mereka yang berusia dua hingga lima tahun boleh didedahkan sekitar 30 minit untuk tempoh dua hingga tiga hari sekali manakala enam hingga 18 tahun hanya dua jam sehari," jelas Akademi Pediatrik Amerika Syarikat (AAP) mengenai kaedah kawalan penggunaan gajet.

Jadi, adalah menjadi satu tanggungjawab kepada kita semua untuk menjaga kesihatan diri dan mematuhi garis panduan penggunaan gajet yang baik supaya kita tidak akan menerima kesan buruknya pada masa hadapan.

Kajian terkini: Peningkatan obesiti dalam kalangan orang muda berpunca daripada teknologi pintar Era Baru Malaysia.


SUMBER : erabaru.com.my



Live Website Traffic





www.edisiviral.com