EdisiViral.Com Search Guest Post Login
Loading...

MSL 2020: Jaringan Hadin Azman Buat FELDA United Terduduk

0 month ago, 12-Sep-2020

Jaringan Kipre Tchetche dan Hadin Azman telah memastikan Kedah berjaya menewaskan FELDA United 2-1 di Stadium Tun Abdul Razak, sebentar tadi.

Ia merupakan kemenangan ke-4 berturut-turut oleh Helang Merah dan membantu mereka melonjak ke kedudukan kedua CIMB Liga Super 2020, memintas Perak dengan mengumpul 13 mata, enam mata di belakang Johor Darul Tazim (JDT).

Babak pertama berakhir dengan FELDA United telah mengejutkan pelawat apabila membuka jaringan di penghujung babak pertama menerusi pemain sayap berusia 20 tahun, Syahmi Zamri. Ia merupakan percubaan tepat pertama mereka ke gawang.

Rentak kedua-dua pasukan agak baik dalam mengatur gerakan dan asakan, namun tampak buntu setiap kali bola memasuki defensive third lawan. Kedah mengharapkan dinamik Kpah Sherman dan Kipre Tchetche dalam usaha untuk memecah kubu.

FELDA United yang turun tanpa penyerang utama, Khairul Amri Kamal pula dilihat meletakkan harapan kepada Frederic Bulot, namun hanya berjaya melakukan percubaan pertama pada minit ke-35, menerusi sepakan percuma tersasar.

Tuan rumah mempamerkan permainan yang baik dalam mengekang Kedah dengan memberikan tekanan pantas setiap kali pemain pelawat memiliki kawalan bola. Ini membuatkan asakan Kedah acap kali terbantut sebelum tiba di kawasan kubu lawan.

Pemain tengah, Amin Nazari berjaya menguji penjaga gol The Fighters, Muhaimin Mohamad, namun sentuhan pemain yang berasal dari Filipina itu tiba tepat ke dakapan penjaga gol. Ia diperolehi menerusi sepakan percuma Baddrol Bakhtiar.

Akhirnya, di minit-minit akhir babak pertama, bermula hantaran lintang oleh Danial Amier Norhisham dari sebelah kiri gawang disambut dengan tandukan kemas Syahmi Zamri untuk membolehkan FELDA United terlebih dahulu di depan.

Minit ke-48, Kipre Tchetche berhasil meledak jaringan penyamaan selepas menerima umpanan jarak jauh ke kawasan gol FELDA United oleh Shakir Hamzah. Ia adalah gol ke-4 penyerang itu tiga aksi berturut-turut, selepas liga kembali bersambung.

Kekebalan benteng FELDA United adalah hasil kerja keras Osman Yusoff dan kapten, Nikola Raspopovic dalam mengekang pergerakan Kpah Sherman.

Begitupun, suntikan segar oleh pengendali Kedah, Aidil Sharin dengan memasukkan Azamuddin Akil dilihat sedikit memberi kesan apabila pemain itu menggunakan kelebihan pengalamannya menyusup masuk ke kawasan benteng lawan.

Kedah berjaya memperolehi jaringan pendahuluan pada minit ke-66 yang diledak oleh bekas kapten FELDA United, Hadin Azman menerusi percubaannya dari sudut kanan gawang tuan rumah selepas menerima hantaran kemas Azamuddin Akil.

Lima minit sebelum berakhir perlawanan, bek sayap tuan rumah, Ariff Farhan telah membuat percubaan jarak jauh yang hampir memperdaya penjaga gol gantian Kedah, Shahril Saari, namun ianya sekadar singgah ke palang gol Helang Merah.

Shahril Saari dimasukkan menggantikan penjaga gol utama, Ifwat Akmal yang mengalami kecederaan di penghujung babak pertama dan ia merupakan aksi terpuji yang dipamerkannya sepanjang aksi pertamanya selepas liga tertangguh itu.

FELDA United gagal meraih kemenangan yang mereka cari biarpun terlebih dahulu mengejutkan pelawat kali terakhir anak didik Nidzam Jamil meraih kemenangan adalah pada 11 Mac lalu, menewaskan Melaka United 3-2 di halaman sendiri.

Secara keseluruhan, tumpuan pertembungan ini adalah lima tuntutan sepakan penalti yang dibuat oleh tuan rumah sepanjang perlawanan malam ini yang tidak dilayan pengadil, dengan semuanya dikatakan terkena tangan pemain Kedah.

KREDIT FEATURED IMAGE: KEDAH FA


SUMBER : semuanyabola.com

Loading...

Loading...

Live Website Traffic


loading...