EdisiViral.Com Video Search Login
Loading...

Jangan pinggirkan prinsip hidup berjiran Berdosa jika kita tak sambung silaturahim dengan tetangga

0 month ago, 20-Nov-2020

PADA zaman ibu bapa dan nenek moyang kita, kemesraan mereka bersama jiran dijalin sangat mesra dan menyeronokkan.Bayangkan kalau seorang dikhabarkan sakit, berduyun-duyun orang kampung berziarah. Itu belum kerja kahwin atau majlis cukur jambul lagi.

Keadaan itu sangat berbeza dengan perilakuorang zaman milenial ini yang memang pelik. Bagi sesetengah mereka, jiran tidak membawa sebarang makna. Hal ini bukan sekadar cakap kosong, malah memang terjadi terutama mereka yang menghuni kondominium dan perumahan elit.

Tidak tahu mengapa situasi itu tidak boleh diwujudkan pada masa ini? Adakah sebab kesibukan yang melanda atau sikap yang enggan menjaga tepi kain orang telah disalahertikan?

Tambahan pula, dalam musim pandemik Covid-19 ini, memang ramai tidak keluar rumah kecuali atas urusan kerja dan penting serta kecemasan sahaja.

Begitupun, berdasarkan semua situasi berkenaan, kita tidak sepatutnya meminggirkan adab berjiran.

Dengan kecanggihan teknologi yang pada hari ini dan jaringan telekomunikasi yang baik, kita sepatutnya menggunakan peluang itu untuk bertanyakan khabar jiran.

Masakan tidak, itu antara pendekatan untuk memuliakan orang terdekat dengan kita sebagaimana yang dianjurkan dalam agama Islam. Berbuat baik kepada jiran turut diperintahkan dalam kalam ALLAH.

Firman ALLAH SWT: Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki (Surah an-Nisa, ayat 36)

Jelaslah bahawa sangat penting untuk kita menjaga pertuturan, tingkah laku dan segala tindak-tanduk kita terhadap jiran.

Kenapa berbuat baik kepada jiran begitu penting? Benarkah mereka yang tidak memuliakan jiran tidak layak masuk ke syurga milik ALLAH SWT?

40 buah rumah

Bagi membicarakan tentang topik itu, Sinar Islam mewawancara pendakwah Ustazah Nourul Iman Niamat.

USTAZAH NOURUL IMAN

Beliau terlebih dahulu mengajak kita untuk menyelami definisi jiran dalam konteks Islam. Jelasnya, jiran bermaksud orang yang tinggal sebelah-menyebelah dengan kita sama ada di kiri, kanan, depan mahupun belakang rumah.

Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud dan at-Tabarani, jiran merupakan orang yang tinggal dalam lingkungan 40 buah rumah dari kediaman kita. Ia merangkumi jiran dari keempat-empat arah rumah kita.

Kaedah dalam konteks Islam ini untuk membantu kita mengenal pasti siapa jiran kita untuk diberikan hak yang sebaiknya kepada mereka, katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Ustazah Nourul Iman menjelaskan, umat Islam diajar supaya memuliakan tetangga masing-masing kerana jiran seolah-olah menjadi pengganti kepada kaum keluarga yang jauh di mata.

Masakan tidak, jiran merupakan orang yang paling dekat dengan kita berbanding ahli keluarga pada ketika ini. Justeru, pendakwah itu mengingatkan agar menjaga hati dan silaturahim yang terjalin.

Jiran itu ibarat lidah dan kita pula umpama gigi. Apabila sekali lidah tergigit, ia akan menghasilkan kesan yang sangat sakit.

Begitulah juga apabila kita lakukan sesuatu perkara yang tidak disukai jiran dan menyakiti hati tetangga kita, katanya.

Betapa rapatnya perhubungan sesama jiran itu sehinggakan Rasulullah SAW bersabda: Jibril selalu menasihati aku tentang jiran hinggakan aku menyangka bahawa jiran itu akan menerima pusaka daripada jirannya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hak jiran

Meneruskan perkongsian ilmunya, Ustazah Nourul Iman menjelaskan, ada beberapa hak jiran yang perlu dipenuhi sebagai tanda memuliakan mereka. Ia sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Indama Yahlu al-Masa.

Hidup berjiran
MULIAKAN jiran tetangga dan sesekali menjamu mereka makan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang terjalin.

Jika jiran itu merupakan seorang Muslim, ujar beliau, berilah salam tatkala bertemu dengannya. Namun begitu, ketika bersembang-sembang dengannya, usahlah memanjangkan perbualan tersebut.

Selain itu, sentiasalah bertanyakan hal keadaan jiran kita. Jika menjadi kelaziman kita melihat jiran keluar untuk sidai baju atau siram pokok bunga, tetapi sudah dua atau tiga hari kita tidak nampak kelibatnya, bertanyalah khabarnya. Barangkali mereka sakit, dalam kesempitan dan sebagainya.

Ikutilah contoh Rasulullah SAW yang menziarahi jiran Yahudi baginda. Dalam keadaan tersebut, perilaku tersebut memberi satu kebaikan kepada kita dan memberi satu tanda bahawa hebatnya Islam itu iaitu antaranya dengan memuliakan jiran, jelas beliau.

Seandainya menerima khabar jiran kita sakit, beliau menambah, ziarahlah mereka dan sampaikan takziah dan mendoakannya, terang beliau.

Saat jiran ditimpa musibah pula, ujar beliau, bantulah mereka sedaya yang mungkin. Begitu juga apabila tetangga kita mencapai satu bentuk nikmat daripada ALLAH SWT ataupun peningkatan hidup, raikanlah keseronokan dan kebahagiaan mereka.

Andai jiran kita mempunyai sifat yang jelik, maafkanlah kesalahannya dan sentiasa mencintainya iaitu dengan cara sentiasa berdoa semoga ALLAH SWT memberikan hidayah kepada jiran berkenaan, katanya.

Ustazah Nourul Iman turut mengingatkan kita agar tidak sesekali mencari keaiban yang disembunyikan oleh jiran. Lebih-lebih lagi untuk dijadikan bahan menyakiti mereka dan sebagainya. Ini termasuklah tidak terlalu memerhatikan apa sahaja yang dibawa pulang oleh jiran, terang beliau.

Hidup berjiran
USAHLAH sibuk mencari keaiban yang cuba disembunyikan oleh jiran atau dalam erti kata lain, menjaga tepi kain mereka untuk dicanang kepada orang lain.

Umpamanya, jiran membawa balik sofa, televisyen besar dan segala bentuk kenikmatan yang diperoleh, tetapi kita pula sibuk-sibuk untuk melihatnya.

Suka untuk saya ingatkan, berbuat baik itu bukan kepada jiran sahaja, tetapi juga anak-anak mereka.

Misalnya, apabila anak-anak jiran bersapaan dengan kita, bersikap baiklah dengan mereka. Jangan pula kita memandang mereka seolah-olah ingin mencari kesalahan mereka untuk diadukan dalam grup WhatsApp, jelasnya.

Kepada satu soalan, Ustazah Nourul Iman menjelaskan: Tidak akan masuk syurga mereka yang tidak mengamankan jirannya. Perkara itu ada dinyatakan dalam sebuah hadis masyhur.

Begitu juga dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Hakim, ada dijelaskan bahawa seorang wanita yang berpuasa pada siang harinya, mengerjakan solat pada malam harinya, tetapi melakukan perkara yang menyakiti jirannya, maka Rasulullah SAW bersabda: Wanita itu di dalam neraka.

Beliau menambah, hadis berkenaan menjadi amaran kepada kita bahawa mereka yang tidak menjaga lidah dan menyakiti jirannya sekalipun seseorang itu beramal soleh serta mempunyai hubungan yang baik dengan ALLAH SWT, tetap tidak akan selamat daripada api neraka.

Kenapa jiran perlu diutamakan? Bagi menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Dai Fuad menjelaskan,perkara itu ada dinyatakan dalam kaedah usul fiqh.

DAI FUAD

Katanya, apabila ingin mencari kediaman untuk menetap, ulama meletakkan keutamaan jiran tetangga sebelum mendahulukan daerah atau penempatan rumah tersebut.

Disakiti jiran

Ini kerana jiran begitu signifikan dalam kehidupan kita. Dengan jiran itulah, ia memerlukan komuniti yang soleh dan taat kepada ALLAH SWT.

Oleh sebab itu, apabila kita menjaga hak antara jiran tetangga, pastinya ia akan memelihara kemuliaan dan kebahagiaan hidup bersama dalam masyarakat komuniti. Ia tidak kiralah sama ada jiran tetangga yang Muslim ataupun bukan Islam. Sesungguhnya, berbuat baik kepada jiran tidak mengira agama mereka kerana masing-masing ada hak berjiran, katanya.

Ujar pendakwah itu lagi, para ulama menyatakan, terdapat tiga elemen penting untuk kita ketahui tentang hak jiran dalam kehidupan.

Pertama, tidak sesekali menyakiti hati mereka. Kedua, bersabar apabila disakiti dan ketiga, menghormati dan berbuat baiklahkepada mereka, nasihat beliau.

Seandainya ditakdirkan kita memiliki jiran yang menguji kesabaran dan menyakiti hati, Dai Fuad menyarankan agar kita tetap menunjukkan perwatakan dan keperibadian yang baik.

Namun, jika mereka telah melampaui batas dan melibatkan hal-hal keselamatan setelah berlakunya perbincangan, maka lanjutkanlah kepada pihak berkuasa, saran beliau.

(Artikel berkaitan:Adab berjiran tetap kena jaga, lebih-lebih lagi waktu PKP ini)

Menjawab satu soalan lain, Dai Fuad berkata: Sesungguhnya, mengabaikan dan tidak menjalinkan silaturahim antara jiran tetangga itu telah melanggar perintah ALLAH dalam Surah an-Nisa, ayat 36.

Ia adalah satu dosa yang sering dilakukan dalam masyarakat pada hari ini apabila tidak melaksanakan kebaikan dan perintah berbuat baik terhadap jiran tetangga mereka. Hal ini kerana dalam Islam, hak jiran tetangga itu telah nyata terdapat dalam al-Quran dengan perintah untuk melakukan kebaikan kepada mereka.

Bagaimana kita nak lakukan kebaikan jika kita tak mengenali mereka? Bukan itu sahaja, dalam hadis sahih Riwayat alBukhari, ada menyatakan, sesiapa yang ingin diperluaskan rezeki dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim.

Justeru, santunilah jiran tetangga kita tanpa mengira agama dan bangsa dengan sebaiknya. Jangan pernah langsung menyakiti hati mereka dengan perilaku, kata-kata dan tindakan kita.

Jangan pulaukan jiran yang ditimpa musibah Covid-19

Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia pada hari ini membuatkan masyarakat begitu berhati-hati dalam pergaulan termasuklah hubungan dengan jiran tetangga.

Bagaimanapun, itu bukanlah alasan untuk kita tidak memuliakan individu yang duduk berhampiran dengan kita. Ia sama ada mereka tinggal dekat mahupun jauh yang meliputi 40 buah rumah di kiri, kanan, depan belakang, atas dan bawah kediaman kita sebagaimana maksud jiran dalam konteks Islam.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Mohd Hasrul Shuhairi menegaskan, sekalipun jiran kita disahkan positif penyakit tersebut, umat Islam tidak boleh memboikot apatah lagi memulaukan mereka.

DR MOHD HASRUL

Berdasarkan nas al-Quran dan hadis serta pandangan para ulama seperti Imam al-Ghazali, antara hak jiran adalah perlu menziarahi ketika mereka sakit, menghiburkan mereka ketika ditimpa musibah dan menemaninya ketika sedih.

Oleh sebab terdapat peraturan khas disebabkan Covid-19berkaitan penjarakkan sosial, sekurang-kurangnya kita perlu menghubungi jiran tadi untuk bertanya khabar mereka.

Seperkara lagi, tuturkanlah ungkapan yang boleh menyenangkan hati mereka. Sesiapa yang memulaukan jiran mereka (akibat ditimpa ujian Covid-19) dianggap tidak memenuhi adab berjiran jika mereka diboikot, katanya.

Dalam pada itu, Dr Mohd Hasrul turut mengingatkan masyarakat agar tidak melakukan suatu perkara yang kurang menyenangkan jiran. Umpamanya, membiarkan anak mereka bermain terlalu lama di rumah jiran hingga menimbulkan rasa kurang senang kepada tetangga.

Ingatlah, Islam melarang menyakiti hati jiran seperti menghina atau mencaci jiran tetangga kerana ia tanda iman tidak sempurna. Agama suci ini juga melarang umatnya daripada menghina pemberian jirannya walaupun pemberian itu sedikit, katanya.

Rasulullah SAW bersabda: Antara (tanda) kebahagiaan seseorang ialah rumah yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan tunggangan yang elok. (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis itu, jelaslah bahawa hidup berjiran secara harmoni merupakan tanda kebahagiaan bagi sesebuah masyarakat, katanya mengakhiri bicaranya.

ANEKDOT

Hidup berjiran
MENYAPA dan bertanya khabar jiran apabila bertemu dengannya sebagai tanda memuliakan tetangga yang begitu rapat rumahnya dengan kita.

TIGA jenis jiran dan hak mereka

1.Jiran yang merupakan keluarga atau kerabat kita.
Orang itu merupakan jiran kita dan pada masa sama individu berkenaan juga mempunyai pertalian keluarga dengan kita seperti bapa saudara, anak saudara, abang atau kakak kita.
Jiran seperti itu mempunyai tiga hak daripada kita yang perlu ditunaikan. Ia melibatkan hak kekeluargaan, hak sebagai jiran dan hak sebagai seorang Islam.

2.Jiran beragama Islam.
Seandainya jiran kita itu saudara seagama, tetapi bukan kerabat kita, terdapat dua hak yang perlu kita berikan kepada mereka.
Ia merupakan hak sebagai Islam dan hak sebagai jiran.

3.Jiran bukan Islam.
Hak yang terlibat adalah hak sebagai jiran.

: Pendakwah, Ustazah Nourul Iman Niamat dan Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar???????

Post Views: 1





Live Website Traffic


loading...